Rakyat Arab Saudi hulur RM300 juta bantu mangsa perang Aleppo

0
3
Raja Salman

ALEPPO: Menurut Anadolu warga Arab Saudi berjaya mengumpul dana AS$75 juta (RM300 juta) untuk membantu penduduk Aleppo di Syria yang terperangkap dalam serangan kerajaan Bashar al-Assad bersama sekutunya Rusia.

Middle East Monitor pada Sabtu (31/12/2016) melaporkan, awalnya Raja Salman Abdul Aziz yang sedih melihat penderitaan warga Aleppo segera menyebarkan nombor akaun bank kepada rakyat Arab Saudi yang mahu menghulurkan sumbangan membantu mangsa perang ini.

Raja Salman
Raja Salman Abdul Aziz

“Tindakan diambil kerana penderitaan yang dialami oleh saudara kita di Syria, terutama pelarian Aleppo serta daerah lain yang menderita akibat kesukaran dan peristiwa menyakitkan,” menurut kenyataan pihak kerajaan Arab Saudi.

Saudi TV Channel 1 pula kerap mengundang ulama ternama mengajak agar warga Arab Saudi mengambil bahagian membantu mangsa perang di Syria.

Dalam perkembangan terbaru, sekutu Assad yang bertanggungjawab menjatuhkan Aleppo, Presiden Rusia Vladimir Putin mengatakan kerajaan Syria dan penentang rejim Assad kini menyetujui gencatan senjata baru bermula Khamis lepas.

Menurut rancangan, rundingan damai diadakan dalam beberapa waktu akan datang di ibu kota Kazakhstan, Astana.

Kesepakatan gencatan senjata antara kerajaan Syria dengan pemberontak diusahakan bersama oleh Turki, Rusia dan Iran.

Setakat ini perang saudara di Syria meragut 300,000 jiwa semenjak Mac 2011.

Sementara, 4 juta warga Syria menjadi pelarian di Eropah dan negara lain. – Sarawakvoice