Ketidakstabilan di Syria: Menjaga kepentingan keselamatan Israel

0
3

KUALA LUMPUR: Parti Islam Se-Malaysia (Pas) mengalu-alukan  proses gencatan senjata yang dipersetujui dalam kalangan pihak yang bertempur di Syria.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, umat Islam juga mestilah cermat memahami bahawa apa yang berlaku ialah campur tangan strategik kuasa besar dunia untuk mewujudkan ketidakstabilan di bumi Syria sebagai tindakan menjaga kepentingan keselamatan Israel di rantau itu.

“Maklumat risikan reka cipta dan propaganda media negara kuasa besar ini diangkat sebagai fakta yang dikelirukan terhadap umat Islam.

Negara-negara Arab dipergunakan sebagai proksi dengan cagaran mempertahankan takhta kerajaan masing-masing sebagai umpannya dan seterusnya ditiupkan adu domba api peperangan Sunni-Syiah,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Hadi yang juga Ahli parlimen Marang, percaturan kompleks geopolitik sebegini memerlukan kefahaman dalam kalangan umat Islam supaya tidak dikelirukan oleh agenda zionis dan kepentingan mereka.

Katanya, Pas melihat keadaan yang tegang dan berdarah di bumi Syria perlu dihentikan segera, kesejahteraan rakyat awam dikembalikan, dan sebarang cubaan provokasi jahat untuk menggagalkan gencatan  dihalang daripada berlaku terutamanya pada masa yang sangat kritikal ini.

“Formula ini adalah antara syarat awal dalam memastikan gencatan ini dapat dipertahankan,” ujarnya.

“Apabila keadaan keselamatan lebih terpelihara,  maka baharulah  isu berkaitan dengan kezaliman dan pembunuhan semasa tragedi berdarah ini berlaku mestilah disiasat dan diambil langkah konstruktif seterusnya yang bersesuaian dengan protokol undang-undang yang diterima di peringkat antarabangsa,” tambah Hadi lagi. – Sarawakvoice