LIMBANG: Mayat seorang remaja yang sebelum ini dilaporkan hilang ketika mandi bersama rakan-rakannya di Sungai Lubai di sini berjaya ditemui pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Farhan Sufyan Borhan berkata, mayat mangsa ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) sekitar jam 6.40 pagi tadi kira-kira 2 kilometer dari lokasi terakhir dia dilihat.

Mangsa Alexander Albertini Daud, 16 tahun dari Rumah Apeng, Batu Riau Lubai
dilaporkan hilang pada jam 1.58 petang Rabu lalu, setelah tenggelam dihanyutkan arus deras sungai tersebut.

Sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Limbang telah dikejarkan ke lokasi sebaik menerima maklumat.

Proses SAR kemudian diaktifkan melibatkan bot bomba dan penduduk kampung, selain bantuan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan polis.