Tabung Haji kekal beri subsidi jemaah haji hampir RM10,000 seorang

KUALA LUMPUR: Kos pengurusan haji meningkat RM19,550 seorang pada 2017, bagaimanapun kadar bayaran haji kekal RM9,980 seorang sejak 2009.

Selebihnya kos disubsidi oleh Lembaga Tabung Haji menjadikan kos subsidi jemaah haji meningkat RM200 juta pada 2017, meningkat RM40 juta berbanding 2016.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melalui blog rasmi beliau, najibrazak.com pada Rabu menyifatkan subsidi berkenaan sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan memelihara syiar Islam, selain membantu umat Islam menyempurnakan Rukun Islam kelima itu.

Tabung Haji memberi ruang buat umat Islam menyimpan wang bagi melengkapkan perbelanjaan ke tanah suci Mekah.

Tabung Haji turut berperanan mengurus pemergian jemaah selain memastikan keselamatan dan kebajikan mereka terpelihara semasa menunaikan Haji. – Sarawakvoice