MIRI: “Perjanjian Malaysia perlu dilihat semula. Ia tidak sah kerana terlalu banyak pelanggaran dilakukan oleh rakan kita dalam Persekutuan,” kata Fong Pau Teck, salah seorang pemimpin Sarawak For Sarawakians (S4S) baru-baru ini.

Menurutnya, atas landasan itulah beliau menulis kepada Ratu Elizabeth bagi menyatakan pandangan anak Sarawak berhubung isu tersebut.

“Saya memintanya untuk melihat semula perjanjian yang dimeterai tersebut. Terlalu banyak pelanggaran, terutamanya hak-hak Sarawak yang dicabul oleh Putrajaya,” tegasnya.

Pau Teck pada 8 Disember lalu telah menyerahkan memorandum berhubung isu ini kepada Ratu Elizabeth dan Perdana Menteri Britain, Theresa May menerusi Kedutaan British di Kuala Lumpur.

Ia percubaan kedua selepas percubaan pertama pada awal tahun ini gagal, dengan surat yang dihantar ke Istana Buckhingham dikembalikan tanpa dibuka.

Pau Teck menjelaskan, kandungan di dalam memorandum yang diserah tangan itu serupa dengan surat yang dikirimkan pada awal tahun ini.

“Cuma ia ditandatangani oleh saya sendiri, manakala surat yang pertama ditandatangani oleh Lina Soo,” tegasnya.

Katanya, pergerakan yang diterajuinya bersama-sama Lina Soo, Beng Khor dan beberapa yang lain mempunyai hampir sejuta pengikut.

“Ini dapat dilihat menerusi sokongan yang diterima dalam akaun facebook kami.”

Jelasnya, pergerakan itu kini semakin popular dan amat dikhuatiri oleh banyak pihak, termasuk pihak pembangkang.

“Kami sebenarnya menolak penjajahan era baharu atau neokolonialisme yang dilaksanakan oleh parti-parti Semenanjung.

“Kami tolak semuanya, baik Barisan Nasional, Pakatan Harapan dan semua parti yang berasal dari Semenanjung kerana mereka berniat mencuri kekayaan Sarawak dan Sabah.

“Lihat sahaja apa yang berlaku kepada minyak dan gas kita,” katanya.

Malah tegasnya, tindakan Parlimen menurunkan status Sarawak dan Sabah kepada negeri berbanding dengan wilayah, juga sebahagian daripada agenda Malaya.

“Kerana itu kita bangkit menentang. Ia melanggar perjanjian asal pembentukan Malaysia.

Bagaimanapun katanya, pihaknya gembira kerana Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem telah merintis usaha mengembalikan hak Sarawak dan mendesak agar kepentingan negeru ini tidak terus dicabuli.

“Cuma kita khuatir usaha ini tidak akan berpanjangan berikutan tahap kesihatan dan usianya.

Ditanya sejauh mana beliau yakin pentadbiran British akan melayan permintaannya itu, Pau Teck berkata, beliau tidak yakin mereka akan melakukan sebarang tindak balas.

“Sekurang-kurangnya sudah ada rekod daripada rakyat peribumi Sarawak berhubung isu ini.

“Kita percaya, perjuangan ini akan mengambil masa yang lama, dan kita akan teruskan sampai bila-bila,” jelasnya lagi.

Katanya, banyak fakta sejarah sebelum ini telah diputarbelitkan, termasuk mengenai pandangan dan suara hati rakyat mengenai penubuhan Malaysia.

“Suruhanjaya Cobbold yang dipengerusikan oleh Lord Cobbold hanya melakukan pungutan suara berbentuk townhall, dan bukannya referendum.

“Seharusnya untuk kes terbesar seperti ini, ia memerlukan proses referendum diadakan bagi membolehkan suara hati rakyat seluruhnya diperdengar sebelum keputusan diambil,” katanya lagi. – Sarawakvoice