Sunday, November 27, 2022

Ketua Polis Negara nafi Pulau Pinang hab edar dadah

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menangkis dakwaan bahawa Pulau Pinang sebagai hab transit pengedaran dan penyeludupan dadah dari Thailand.

Beliau mengakui negeri berkenaan dari dahulu lagi ialah lokasi yang banyak terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan mahupun pengedaran dadah disebabkan hubungan perniagaan antara penduduk Pulau Pinang dengan Thailand.

“Ini tidak bermakna Pulau Pinang merupakan hab dadah hanya kerana dadah masuk melalui sana dan hanya melibatkan sebilangan kecil penduduk Pulau Pinang,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Bukit Aman, Selasa.

“Janganlah disebabkan dadah itu datang ke Pulau Pinang atau ada dua hingga tiga orang yang terlibat dadah bermakna negeri itu terus menjadi hab dadah.

“Polis sentiasa mengambil tindakan terhadap kumpulan sindiket ini. Malah, kebanyakan kejayaan operasi dadah di Thailand hasil kerjasama kedua-dua negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Pemangku Pemerintah Bahagian Pencegahan Narkotik Kawasan 4 Thailand (selatan) Mej Jen Dussadee Choosankij  bahawa Pulau Pinang sebagai adalah hab transit pengedaran dadah.

“Kita kena faham bahawa dadah ini juga datang dari Thailand dan dibawa ke selatan Thailand sebelum diseludup masuk ke Malaysia dan kemudiannya ke negara lain.

“Tetapi dunia telah mengiktiraf bahawa Segi Tiga Emas adalah antara kawasan pengeluar dadah terbesar di dunia, dan Thailand juga adalah sebahagian daripadanya,” katanya.

Khalid berkata selagi ada permintaan untuk dadah, bekalan akan terus ada.

“Kita perlu melawan dua elemen iaitu permintaan dan penawaran dalam perdagangan dadah,” katanya. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru