Fitnah hendak jawatan PM, TPM: Lim Kit Siang pertimbang saman NST

0
4

KUALA LUMPUR: Lim Kit Siang meminta peguamnya mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap  New Straits Times (NST) berikutan laporan berunsur fitnah kerana beliau tidak pernah bertemu Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk berbincang mengenai jawatan Perdana Menteri  dan Timbalan Perdana Menteri jika pakatan pembangkang menang pada pilihan raya umum (PRU) akan dsatang.

Ketua Parlimen DAP itu menyifatkan laporan berkenaan bukan sahaja tidak benar sama sekali, tetapi fantasi semata-mata.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata, keberanian media arus perdana dalam menyebarkan fitnah seumpama itu ialah satu petanda bahawa standard moral dan etika penulisan berita telah jatuh begitu rendah di negara ini.

Akhbar itu melaporkan bahawa Kit Siang bertemu dengan Pengerusi PPBM Tun Dr. Mahathir pada 3 Disember lalu dan memeterai perjanjian dengan Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang akan menjadi Perdana Menteri, dan Kit Siang sebagai timbalannya.

“Saya tidak pernah bertemu Mahathir, sama ada pada 3 Disember atau sebelum itu untuk ‘meterai perjanjian’ dalam soal PM atau TPM jika Barisan Nasional kalah  pada PRU akan datang.

Malah, Kit Siang menegaskan bahawa beliau tidak pernah sekalipun berbincang dengan Dr. Mahathir tentang isu berkenaan.

PRU diadakan sama ada Mei atau September tahun depan.

Menurut Ahli Parlimen Gelang Patah itu lagi, penulisan hari ini tidak berprinsip dan hanya berniat untuk memburuk-burukkan individu tanpa sebarang kajian terlebih dahulu.

Kata Kit Siang, terlalu banyak pembohongan mengenai beliau dan pemimpin-pemimpin DAP disebarkan di media sosial.

“Tetapi media arus perdana perlu diberi pengajaran jika ia sanggup merendahkan martabatnya dengan menjadi penyebar fitnah dan pembohongan,” katanya. – Sarawakvoice