LAWAS: Seramai 19 mangsa dari sebuah rumah di Kampung Siang-Siang, dekat sini dipindahkan ke Pusat Pemindahan Mangsa Banjir malam tadi setelah rumah yang didiami mereka dinaiki air.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Farhan Sufyan Borhan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 9.47 malam tadi dan sebuah lori dan kenderaan pelbagai guna dengan kekuatan lima anggota dikejarkan ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Lawas.

“Pasukan tiba di lokasi 17 minit kemudian dan mendapati rumah tersebut dihuni oleh tiga keluarga yang memiliki pertalian persaudaraan.

“Proses pemindahan kemudian diaktifkan dan mangsa dipindahkan segera ke Dewan Masyarakat Trusan.

“Turut dipindahkan ialah 10 kanak-kanak,” katanya lagi.

Menurut Farhan, sehingga berita ini ditulis, mangsa masih berada di tempat pemindahan memandangkan keadaan cuaca yang mendung, biarpun keadaan air semakin terkawal dan surut.

Kawasan timur Semenanjung Malaysia, Selatan Sarawak dan sedikit di bahagian utara diramalkan berhadapan taburan hujan yang banyak berikutan musim tengkujuh yang sedang melanda. – Sarawakvoice