SARIKEI: Gagal mengawal kenderaan selepas melanggar kenderaan di hadapan menjadi punca sebuah Perodua Myvi terbabas lalu melanggar tayar sisi sebuah lori treler di Jalan Bukit Sebangkoi dekat sini petang tadi, yang kemudian mengorbankan pemandunya.

Pemangku Timbalan Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Asisten Superintendan Mathew Manggie berkata, kejadian berlaku sekitar jam 2.50 petang ketika kawasan tersebut dilanda hujan renyai.

“Berdasarkan siasatan awal, kemalangan berlaku di kawasan selekoh dengan kenderaan Perodua Myvi melanggar bahagian belakang sebuah Perodua Viva, sebelum hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.

“Ketika inilah kenderaan tersebut yang sedang dalam perjalanan menghala ke Sibu dari Kuching dengan membawa dua lelaki dan dua perempuan dewasa terlanggar tayar sisi lori treler tersebut secara berdepan,” katanya.

Sementara itu menurut Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Farhan Sufyan Borhan, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 2.55 petang dan sebuah jentera dikejarkan ke lokasi dengan kekuatan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei.

“Pasukan tiba 27 minit kemudian dan mendapati seorang daripada empat mangsa di dalam kenderaan Perodua Myvi tersebut tersepit di dalam kenderaan.

“Selama satu jam, pasukan penyelamat menggunakan hydraulic rescue tool untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di ruang pemandu, sebelum diserahkan kepada pasukan paramedik.

“Pasukan paramedik bagaimanapun mengesahkan bahawa mangsa tidak lagi bernyawa.

“Tiga lagi mangsa bagaimanapun berjaya dikeluarkan oleh orang awam dan mengalami kecederaan sebelum dibawa oleh pasukan paramedik ke Hospital Sarikei untuk rawatan lanjut,” katanya.

Menurut Mathew, mangsa yang maut kemudian dikenal pasti sebagai Hu Hang Tiong, 41 tahun dari Payung, Sibu.

“Kita masih menyiasat punca kemalangan dan siasatan diklasifikasi di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kejadian tersebut menyebabkan kesesakan berpanjangan di laluan Sarikei-Sri Aman berikutan kedua-dua laluan tersekat kerana kerja-kerja penyelamatan.

Laluan ini merupakan antara yang tersibuk ketika orang ramai meraikan sambutan Krismas dan cuti umum. – Sarawakvoice