KUALA LUMUR: Pas merakamkan ucapan tahniah kepada wakil Malaysia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)  atas resolusi menghentikan aktiviti penempatan Israel di bumi umat Islam Palestin.

“Ini adalah suatu tamparan besar kepada kerajaan Israel yang sering kali bertindak menindas rakyat Palestin meskipun perkara tersebut bertentangan dengan undang-undang antarabangsa,” kata Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan.

Katanya, Amerika Syarikat tidak menggunakan kuasa veto yang dimilikinya bagi mempertahankan Israel walaupun telah diminta oleh Perdana Menteri Israel sendiri.

“Akhirnya resolusi yang diusulkan semula oleh wakil negara Malaysia, New Zealand, Senegal dan Venezuela itu dibincang dan diluluskan,” katanya.

“Kejayaan resolusi tersebut tepat pada masanya ketika isu konflik Syria yang berkongsi sempadan dengan Israel sedang rancak diperdebatkan,” tambahnya dalam  satu kenyataan.

Resolusi tersebut mengarahkan Israel supaya menghentikan sebarang aktiviti penempatan haram di Palestin dan Jerusalem.

Israel telah membina penempatan haram sejak 1967 dan terus berdegil dengan aktiviti tersebut walaupun jelas bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.

Menurut Nasrudin,  Pas masih konsisten tidak mengiktiraf negara haram Israel dan menolak solusi dua negara.

Pas, katanya,  mengharapkan agar wakil Malaysia di PBB mempunyai pendirian yang tegas dalam memberikan tekanan kepada organisasi dunia tersebut supaya bertindak dengan cara yang sepatutnya dalam menangani konflik berpanjangan di Palestin. – Sarawakvoice