Friday, September 30, 2022

Lelaki hilang ketika memancing di Belaga ditemui mati lemas

Secara Rawak

BELAGA: Misteri kehilangan seorang lelaki ketika keluar memancing di hulu Sungai Mah dekat sini, terjawab apabila operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dilakukan oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Belaga dan penduduk kampung berjaya menemui mayatnya sekitar jam 10.24 pagi tadi.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Farhan Sufyan Borhan, mayat mangsa ditemui 15 meter dari lokasi mangsa disyaki terjatuh.

“Mayat mangsa kini telah dikeluarkan dari lokasi dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Sebelum ini, mangsa yang dikenali sebagai Sudan Yan, 28 tahun, keluar memancing ikan di Sungai Mah dekat sini, sejak jam 10.30 pagi, Jumaat lalu.

Mangsa bagaimanapun gagal pulang ke rumah seperti rutin kebiasaannya dan pihak keluarganya di Rumah Panjang Tahir telah memaklumkan kehilangan tersebut kepada pihak polis Belaga.

Kata Farhan, pusat kawalan Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu kemudian menerima maklumat kejadian pada jam 12.45 tengah hari semalam daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Belaga.

“Bertindak atas maklumat tersebut, pihak balai telah mengarahkan PBS Belaga untuk mengaktifkan respon dan memberi bantuan kepada kes tersebut.

Jarak lokasi kejadian dari Rumah Panjang Tahir adalah tiga jam berjalan kaki, manakala jarak dari Rumah Tahir ke Pekan Belaga adalah sekitar dua kilometer. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru