SEOUL:  Seorang penumpang pesawat Korean Air bertindak ganas dengan memukul, menyepak dan menjerit ke arah sesiapa sahaja yang cuba menghalang laluannya.

Penumpang lelaki itu turut  meronta dan menendang seorang anak kapal wanita.

Bimbang boleh mengancam keselamatan anak kapal, penumpang dan pesawat, anak ahli perniagaan di Korea Selatan itu terpaksa diikat dalam penerbangan dari Vietnam ke Lapangan Terbang Incheon.

Memetik laporan TMZ.com, lelaki itu dilaporkan mula menjerit ke arah anak kapal dan turut menyerang penumpang di sebelahnya.

Melihat keadaan bagai gagal dikawal, akhirnya penyanyi terkenal era 1980-an, Richard Marx cuba  campur tangan dengan mengikat lelaki itu di kerusinya sehingga berjaya dikawal.

Kelakuan agresif lelaki yang tidak dinamakan itu dirakam oleh isteri Marx yang kemudiannya mendedahkannya di media sosial.

Marx melahirkan rasa kesal terhadap anak kapal ‘tidak terlatih’ yang gagal mengawal keadaan sehingga memaksanya untuk campur tangan.

Marx juga turut mendakwa salah seorang kakitangan pesawat gagal menggunakan pistol renjat terhadap lelaki tersebut.

Bagaimanapun, syarikat penerbangan itu, Korean Air menafikan tuduhan itu dan menegaskan anak-anak kapal syarikat itu telah mengikut prosedur syarikat sewaktu cuba mengawal penumpang berkenaan. – Sarawakvoice