KUALA LUMPUR: Perdana Menteri berkata rakyat Malaysia perlu berpegang teguh pada nilai-nilai murni yang mengikat erat mereka selama ini seperti sikap bertoleransi antara satu sama lain dan membantu golongan yang memerlukan.

Dalam perutusan Krismasnya semepa perayaan itu hari ini, Datuk Seri Najib Razak berkata, nilai-nilai itu didukung oleh penganut semua agama.

Dalam kenyataannya, Najib berkata: “Ini merupakan masa untuk menyerlahkan nilai-nilai yang menjadi pegangan penganut Kristian dan agama-agama yang lain – saling menghormati, sikap bertoleransi antara satu sama lain dan membantu mereka yang kurang bernasib baik.

“Ini merupakan nilai-nilai yang mengikat erat kita semua, untuk meraikan kekayaan dan kepelbagaian yang wujud di negara ini, bersama-sama,” kata Najib.

Perdana menteri turut mengucapkan ‘Selamat Menyambut Krismas’ kepada rakyat Malaysia yang menyambut perayaan itu di tanah air atau di luar negara bersama-sama orang tersayang.

Katanya ia merupakan hari yang mengumpulkan dan menyatukan rakan dan anggota keluarga di seluruh negara.