Sunday, September 25, 2022

Dua pekerja Myanmar patah kaki, putus jari dan cedera di pinggang dirempuh Toyota Harrier di Mukah

Secara Rawak

MUKAH: Dua rakyat Myanmar yang bekerja di kilang Press Metal di sini parah selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan Toyota Harrier yang dipandu seorang wanita tempatan di sini petang semalam.

Pemangku Timbalan Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Asisten Superintendan Mathew Manggie berkata, kejadian berlaku sekitar jam 2 petang di simpang masuk kilang tersebut yang terletak di Kilometer 36 Jalan Mukah-Balingian.

“Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 2 petang, kedua-dua mangsa yang berusia 25 tahun sedang menunggang motosikal jenis Modenas Kris tanpa nombor plat.

“Mereka sedang keluar dari simpang kilang tersebut dan menyeberang ke simpang seberang jalan sebelum dirempuh oleh kenderaan Toyota Harrier terbabit yang dalam perjalanan dari Balingian ke Mukah.

Impak pelanggaran tersebut kata Mathew, menyebabkan kedua-dua mangsa parah dengan seorang daripadanya patah tulang kaki kiri dan putus ibu jari kiri, manakala pemboncengnya parah di pinggang.

“Kedua-dua mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Sibu untuk rawatan susulan.

Ujar Mathew, ketika kejadian, kedua-dua mangsa disyaki mabuk dan polis masih melakukan siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar.

“Ia disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru