Penyelesaian konflik Syria: Jangan teruskan spekulasi

0
2

KUALA LUMPUR: Kesatuan Belia Islam Asia menggesa agar semua pihak tidak meneruskan spekulasi berkaitan perkembangan terkini jalan penyelesaian konflik Syria yang cuba diusahakan oleh Presiden Pas, Datuk Seri  Abdul Hadi Awang.

Setiausaha Agungnya, Dr Abdul Muntaqim Abu Bakar berkata, Abdul Hadi mempunyai pengalaman yang tinggi sebagai jururunding berwibawa dalam menyelesaikan banyak konflik yang melanda negara-negara umat Islam sama ada di wilayah Asia, Timur Tengah dan seluruh dunia bagi membantu menguatkan dan menyatukan umat Islam.

“AFMY memandang secara lebih terperinci isu konflik Syria yang telah mengalami perang berpanjangan sejak fenomena Arab Spring sehingga memakan angka korban yang tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr Abdul Muntaqim, menyelar sikap pelbagai pihak sama ada individu atau kumpulan Islam yang cuba memberi kesimpulan awal secara dangkal sehingga mengundang persepsi negatif terhadap usaha ini.

“Semua pihak disaran menilai sewajarnya serta menonjolkan sikap optimis terhadap langkah yang diambil agar konflik Syria berjaya diselesaikan dengan segera dan seterusnya melakar momentum kebangkitan baru dalam dunia Islam,” katanya.

Bagi beliau, AFMY melihat langkah Abdul Hadi Awang menepati beberapa proses penyelesaian konflik seperti memahami dan menghuraikan konflik Syria-Aleppo secara mendalam dalam kerangka yang lebih luas tanpa pengaruh media musuh dan proksi musuh.

Abdul Hadi juga menurut beliau, mengambil sikap berusaha berkomunikasi dengan pihak-pihak yang terlibat secara dekat di dalam konflik Syria termasuk pihak oposisi dan kumpulan Islam. segala perancangan dan perangkap musuh dapat dipatahkan.

Ujarnya lagi, pemimpin Pas itu juga memilih pendekatan terbaik yang mampu menyelesaikan permasalahan konflik Syria tanpa terpalit sentimen negara dan aliran mazhab yang telah memecahkan dunia Islam.

Katanya: “ (Beliau) mengambil pendekatan perantara pihak ketiga yang berupaya memberi langkah cerah ke jalan penyelesaian seperti negara-negara Islam, Kesatuan Ulamak Islam Sedunia, OIC dan lain-lain yang difikirkan wajar.” – Sarawakvoice