Daesh: Penganggur miliki bahan berkaitan pengganas, cari sokongan

0
3

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan mencari sokongan dan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Daish.

Roshelmyzan Husain, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah yang kemudian menetapkan 9 Jan untuk sebutan kes.

Roshelmyzan didakwa mencari sokongan untuk kumpulan pengganas itu melalui aplikasi telegram di Lot 1616, Telok Kapas, Rantau Panjang, Klang antara 25 Mac hingga 29 Jun lepas, lapor Bernama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130 J (1) (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau penjara maksimum 30 tahun atau denda, dan boleh dilucut hak mana-mana harta yang digunakan bagi melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Lelaki itu juga didakwa memiliki bahan-bahan yang berunsur perbuatan keganasan dan berkaitan dengan pengganas Daesh, di Bilik Mesyuarat Tingkat 1, Bangunan Sime Darby Plantation Sdn Bhd, Nuri Refinery, Lot 27, PT 234 Lebuh Sultan Mohamed 1, Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang, kira-kira 2.10 petang pada 29 Jun lepas.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 130 JB (1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana item berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurfaida Mohd Rashidee dan Muhammad Fadzlan Mohd Noor manakala tertuduh diwakili peguam Syahredzan Johan. – Sarawakvoice