KUALA LUMPUR: Pesawat Malaysia Airlines MH1 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, London ke Kuala Lumpur  terpaksa berpatah balik susulan dikesan mengalami masalah teknikal pada salah satu pintu pesawatnya, malam tadi.

MAS dalam satu kenyataan berkata, juruterbang membuat keputusan berpatah balik ke London sewaktu pesawat sedang di ruang udara Jerman.

“Pesawat dijadual mendarat di Heathrow, London dan akan menjalani penilaian oleh pasukan kejuruteraan dan staf teknikal Airbus,” tambahnya.

Namun, kata kenyataan itu lagi, bunyi dan getaran daripada pintu yang bermasalah itu bagaimanapun tidak membawa sebarang risiko.

Menurut kenyataan itu, demi kepentingan keselamatan penumpang, kapten pesawat membuat keputusan untuk kembali ke Lapangan Terbang Heathrow.

“Keselamatan ialah keutamaan Malaysia Airlines. Pihak syarikat akan mengemas kini maklumat kepada pelanggan dari semasa ke semasa,” katanya.

Penerbangan MH1 menggunakan model Airbus A380-800 terbang di laluan London/Kuala Lumpur/London setiap hari. – Sarawakvoice