Pemimpin Umno: Kapal pembangkang akan karam sebelum sempat berlayar

KUALA LUMPUR:  Kapal belum siap tetapi masing-masing sudah kemaruk hendak jadi nahkhoda, akhirnya kapal yang akan karam sebelum sempat belayar.

Demikianlah analogi Datuk Seri Syed Ali Alhabshee terhadap pemimpin blok pembangkang dalam Pakatan Harapan yang mula berebut untuk jawatan Perdana Menteri.

Justeru kata Ketua UMNO Bahagian Cheras itu, seperti dipetik portal parti berkenaan, umum sudah boleh menilai sejauh mana kejujuran pembangkang yang selama ini memperdaya rakyat kononnya mereka berjuang untuk keadilan.

Tegasnya, belum apa-apa  lagi, mereka sudah mula berebut dan mengidam jawatan Perdana Menteri.

“Inilah pembohongan politik pembangkang yang meletakkan kepentingan peribadi dalam perjuangan mereka,” tegasnya.

Menyifatkannya sebagai kapal buruk yang hanya dicat baharu, beliau berkata pemimpin pembangkang terlalu optimis bahawa mereka mampu menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Bagaimanapun ujarnya, kapal buruk pasti akan tenggelam di dasar lautan sebelum sempat singgah di daratan kerana mereka yang mengemudikan kapal tersebut tidak mempunyai sikap ikhlas dan bertanggungjawab.

“Sebenarnya mereka hanya bermain dengan harapan dan angan-angan yang tidak pernah menjadi realiti kerana teras perjuangan mereka bukan berpaksikan kepada kepentingan rakyat keseluruhannya,” ujarnya.

“Angan-angan itulah yang dimanifestasikan sebagai dongeng politik untuk mengabui mata rakyat.

Mengulas lanjut, Syed Ali yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan berkata, nafsu besar pemimpin dalam blok pembangkang untuk menduduki kerusi Perdana Menteri amat melucukan.

“Mereka bercita-cita besar sedangkan dikalangan mereka tidak sehaluan, masing-masing menyimpan impian walaupun menyedari hasrat itu tidak akan kesampaian,” tegasnya.

Tambah beliau, keinginan tersebut akan berakhir dengan penentangan sesama mereka kerana DAP selaku ‘tuan besar’ pasti tidak akan tunduk terhadap kehendak PKR dan dalam kalangan pemimpin Bersatu.

“Inilah namanya kapal buruk, belum siap, dah mula bergasak sesama sendiri, akhirnya kapal itu yang akan karam,” tegasnya. – Sarawakvoice