Tujuh lelaki dikait Daesh dicekup, empat warga asing diusir dari Malaysia

0
3

KUALA LUMPUR: Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman telah menahan tujuh lelaki termasuk empat warga asing kerana disyaki terlibat dalam aktiviti keganasan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, kesemua suspek ditangkap dalam operasi khas yang dilaksanakan di sekitar Selangor, Melaka, Johor dan Sabah sepanjang 3 November hingga 16 Disember lalu.

“Tiga daripada suspek yang ditangkap di sekitar Selangor pada 3 November merupakan warga asing yang berusia di antara 20 hingga 30 tahun.

“Dua daripada mereka merupakan pelajar di Universiti Antarabangsa Al-Madinah, Shah Alam, dengan salah seorang daripada mereka pernah disiasat oleh pihak berkuasa asing kerana disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas Daesh.

Pada September lalu, suspek disyaki terlibat untuk mendapatkan maklumat-maklumat sensitif mengenai aspek keselamatan di sebuah sekolah antarabangsa di Kuala Lumpur.

Seorang lagi suspek, kata Khalid merupakan pelajar di universiti yang sama dan disyaki bersubahat dengan suspek yang pertama.

“Manakala suspek ketiga pernah ditangkap oleh pihak berkuasa di Timur Tengah pada tahun 2010 kerana disyaki menganggotai kumpulan pengganas Al-Qaeda.

Ketiga-tiga individu terbabit telah diusir pulang ke negara asal mereka pada 22 dan 23 November lalu.

Kata Ketua Polis Negara lagi, suspek keempat merupakan warga asing berusia 26 tahun yang bekerja sebagai operator kilang di Johor.

“Suspek ditangkap pada 8 Disember kerana disyaki menganggotai kumpulan pengganas Daesh dan merancang untuk menyeludup senjata api ke Poso, Indonesia serta menyusup masuk ke Myanmar untuk melancarkan serangan.

Suspek kelima tambahnya, merupakan warga Malaysia berusia 24 tahun yang bekerja sendiri dan ditangkap pada 26 November di Melaka.

“Dia merupakan anggota kumpulan pengganas Daesh yang menerima arahan daripada Muhammad Wanndy Mohamed Jedi untuk melancarkan serangan di pusat hiburan di sekitar Melaka dan Kuala Lumpur.

Kata Khalid lagi, suspek juga menerima latihan tentang kaedah mengubah suai bahan letupan daripada Muhammad Nasrullah Abdul Latif @ Abu Gomes, rakyat Malaysia yang menyertai militan Daesh di Syria.

Suspek keenam pula merupakan seorang pemandu lori berusia 24 tahun dan ditangkap pada 16 Disember kerana mengancam melancarkan serangan bom terhadap pusat hiburan di sekitar Kuala Lumpur melalui akaun facebook miliknya.

Suspek keenam jelasnya, berusia 35 tahun dan bekerja sebagai pekerja kilang perabot.

“Dia ditahan di Kota Kinabalu pada 16 November lalu kerana disyaki menganggotai sel Daesh di Sabah.

Kesemua suspek kata Khalid lagi ditangkap di bawah Bab VIA – Kesalahan Berkaitan Dengan Keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas 2012 (Akta 747). – Sarawakvoice