Judi atas talian: Perkasakan kempen kesedaran dalam kalangan rakyat

IPOH:  Tiadanya keazaman politik dalam menangani perjudian atas talian menjadi punca ia terus berleluasa.

Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar dalam satu kenyataan mempersoalkan adakah keadaan ini berlaku disebabkan undang-undang berkaitan lemah atau pelaksanaanya tidak betul.

Beliau juga mempersoalkan sama ada tindakan telah diambil pihak bertanggungjawab terhadap 1,161 aduan yang dilaporkan dari 2015 sehingga September 2016 memandangkan kegiatan itu tetap aktif sehingga kini.

Katanya, berdasarkan maklumat yang diperoleh, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (MCMC) telah mengarahkan syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi untuk menamatkan perkhidmatan sejumlah 12,499 nombor telefon yang menyebarkan perjudian atas talian sehingga September.

Menurut Timbalan Pengerusi DAP Perak itu, kerjasama (MCMC) dan polis dalam menangani isu terbabit tidak memberi kesan meskipun terdapat undang-undang khusus bagi membendung kegiatan tidak bermoral itu.

Beliau berkata, orang ramai perlu mengetahui cara membuat aduan kepada MCMC jika mereka menerima tawaran perjudian atas talian daripada pihak-pihak tertentu.

Kegiatan judi atas talian ini adalah tertakluk di bawah Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 yang diletakkan di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia.

“Tetapi, ramai juga yang masih begitu bebas mempromosi dan berani terlibat dengan perjudian atas talian di luar sana,” ujarnya.

Justeru, Sivakumar yang juga Setiausaha Antarabangsa DAP mencadangkan polis dan MCMC supaya bekerjasama memperkasakan kempen kesedaran secara meluas bagi memastikan orang ramai tidak terjebak dalam kegiatan judi atas talian. – Sarawakvoice