Parkir sesuka hati: Wanita tukang cuci letakkan tong sampah di sekitar kereta

0
7

ANHUI:  Di Malaysia bukan tidak pernah kita melihat pemandu meletakkan kereta sesuka hati, tanpa peduli akan peraturan dan undang-undang dan keselesaan orang lain.

Yang penting, keretanya dapat diparkir di tapak berkenaan meskipun menghalang orang lain.

Bagi seorang tukang cuci warga emas di timur China, dia mempunyai cara tersendiri untuk mengajar pemandu yang mempunyai perangai buruk.

Video bagaimana wanita itu meletakkan tong sampah di sekeliling sebuah kereta yang parkir secara haram  menjadi viral dan mendapat reaksi positif daripada netizen.

Portal berita Ahwang.cn menyatakan rakaman video  40 saat yang dimuat naik di dalam talian itu memaparkan, tukang cuci yang memakai uniform berwarna biru  meletakkan tong sampah penuh dengan sampah sarap di keliling sebuah kereta bewarna hitam.

Tukang cuci berkenaan kecewa dengan sikap pemandu berkenaan  yang menghalang tempat dia bekerja.

“Pemandu tidak boleh meletak kereta di sini. Ia menghalang laluan kecemasan dan pintu masuk tempat pembuangan sampah,” katanya.

“Saya tidak boleh bekerja dengan cara ini dan tidak dapat menyiapkan kerja jika kereta ini masih berada disini. Saya tiada pilihan,” ujarnya lagi.

Pekerja wanita itu mendakwa dia berbuat demikian  sebagai satu pengajaran kepada pemandu berkenaan, apatah lagi dia tidak dapat menghubungi pemandu  itu.

Kereta itu telah diparkir selama beberapa jam di kawasan berkenaan sehingga mengggangu pekerjaannya.

Bagi pemandu berkenaan,  dia tidak kisah perasaan dan keselesaan orang lain.

“Ini ialah pengajaran terhadap pemandu terbabit,” katanya lagi. – Sarawakvoice