Saturday, September 24, 2022

Wanita warga emas maut tercampak lima meter selepas kereta Kancil terputus dua dilanggar di Sarikei

Secara Rawak

SARIKEI: Seorang wanita warga emas maut selepas tercampak lima meter apabila kenderaan Perodua Kancil yang ditumpanginya putus dua dilanggar oleh sebuah kenderaan Hyundai Sonata di Kilometer 443 Jalan Betong-Sarikei-Meradong petang semalam.

Menurut Pemangku Timbalan Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Asisten Superintendan Mathew Manggie, kejadian berlaku sekitar jam 6.45 petang semalam.

“Ketika kejadian kenderaan Kancil yang dipandu suami mangsa yang berusia 62 tahun sedang memasuki simpang ke kawasan rumahnya sebelum secara tiba-tiba dilanggar oleh sebuah kenderaan Hyundai Sonata yang dipandu seorang lelaki berusia 40 tahun dari laluan bertentangan.

“Akibat rempuhan pada bahagian depan sebelah kiri, kenderaan Perodua Kancil itu rosak teruk dan terputus dua menyebabkan penumpangnya, tercampak dan mengalami kecederaan parah.

“Kecederaan tersebut juga menyebabkan mangsa maut serta-merta.

Sementara itu Penolong Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri, Farhan Sufyan Borhan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 6.50 petang dan sebuah jentera dengan kekuatan tujuh anggota dikejarkan ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei.

Pasukan tiba di lokasi 13 minit kemudian dan bertindak segera membawa pengusung untuk menyelamatkan mangsa.

Mangsa kemudian diserahkan kepada pasukan paramedik, sebelum disahkan maut manakala suaminya dapat keluar sendiri dari kenderaan.

“Pemandu kenderaan Hyundai Sonata pula hanya memberhentikan kenderaan pada jarak 100 kaki dari lokasi , dipercayai cedera dan mengalami trauma.

“Untuk memastikan keadaan selamat, pasukan telah mengambil tindakan memotong wayar bateri kenderaan dan membuat size-up sekitar radius 5 meter bagi memastikan keadaan tidak melibatkan mangsa lain.

Kata Mathew, pemandu kenderaan Hyundai Sonata tersebut kemudian berkunjung ke Balai Trafik Sarikei untuk membuat laporan.

Mangsa yang maut kemudian dikenal pasti sebagai Tiong Mee Chuo dari Jalan Repok, dekat sini dan mayat kemudian telah dibawa ke Hospital Sarikei untuk tujuan bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru