Kad ATM lama masih dapat keluarkan wang di mesin

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) menafikan kad ATM yang tidak diperbaharui sebelum tahun depan tidak dapat digunakan untuk pengeluaran tunai.

BNM sebaliknya mengatakan kad ATM yang tidak ditukar dengan fungsi berasaskan PIN masih boleh digunakan di mesin pengeluaran wang tunai.

Bahkan, memetik Bernama, BNM mengatakan tiada caj dikenakan bagi memaharui sebarang kad ATM yang baru dengan fungsi PIN.

Penukaran kad adalah percuma dan kad ATM yang baru merupakan kad debit membolehkan pemegang membuat belian di terminal semasa jualan (POS).

BNM mengingatkan agar pihak bank memberi notis masa mencukupi dan munasabah bagi sebarang penukaran kad sebelum menamatkan fungsi kad sedia ada.

Bermula 1 Julai 2017, semua pembayaran transaksi menggunakan kad di terminal POS dalam negara hanya boleh dilaku menggunakan PIN.

Sebaliknya penggunaan tandatangan tidak lagi digunakan bagi meningkatkan keselamatan dan melindungi kepentingan pemegang kad. – Sarawakvoice