Dua rakyat Malaysia cedera dalam kejadian serangan di Istana Al-Karak, Jordan

AMMAN, Jordan: Dua rakyat Malaysia cedera selepas lokasi pelancongan bersejarah yang dilawati mereka diserang oleh penyerang yang tidak dikenal pasti.

Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Amman mengesahkan perkara tersebut sambil menyebut, mereka merupakan dua daripada 20 pelancong Malaysia yang sedang berada di Istana Al-Karak yang terletak di bandar Karak, kira-kira 132 kilometer dari bandar Amman.

Jelasnya lagi, dalam kejadian tembak-menembak yang berlaku, berlaku kematian yang membabitkan pelancong dari Kanada dan beberapa anggota polis Jordan.

Bagaimanapun kesemua mangsa, terutamanya pelancong dari luar negara termasuk dari Malaysia berjaya diselamatkan oleh pihak berkuasa Jordan dan kini sedang diberikan perlindungan dan bantuan.

“Mereka yang cedera termasuk dua rakyat Malaysia yang belum disahkan identitinya dan sedang menerima rawatan di hospital berdekatan dan keadaannya kini dilaporkan stabil.

Kata jurucakap kedutaan lagi, pihaknya telah berhubung dengan pihak berkuasa Jordan bagi memastikan tiada lagi rakyat Malaysia yang terlibat mahupun terperangkap.

“Pihak kita juga telah mengeluarkan peringatan kepada semua rakyat Malaysia yang berada di bandar Al-Karak, terutamanya para pelajar yang berada di Universiti Muta’ah agar mematuhi segala arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan dan kedutaan sendiri.

Biarpun tiada pihak yang bertanggungjawab di sebalik serangan tersebut, pihak berkuasa Jordan tidak menolak ia didalangi oleh puak militan Daesh.

Istana Al-Karak yang dibina daripada batu-batuan pada tahun 1142 merupakan antara lokasi penting pada era perang salib. Ia merupakan antara istana perang salib terbesar pada zamannya dan pernah dikuasai oleh dinasti Salahuddin Al-Ayubi, Kesultanan Mamluk dan Empayar Othmaniah. – Sarawakvoice