KAPIT: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) terus berikhtiar mencari mangsa terakhir bot karam di Nanga Tamalat, dekat sini yang memasuki hari kelima hari ini.

Proses pencarian di Batang Rajang menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Song, Fredrick Aok kini melibatkan radius 75 kilometer, hingga ke Jambatan Durin di Sibu, lokasi di mana mayat adik mangsa ditemui.

“Pasukan kini melakukan pencarian secara agresif di permukaan, selain menyusuri tebing dan memeriksa celah-celah tunggul pokok.

Secara keseluruhannya, sebanyak 45 anggota yang mewakili pelbagai agensi, termasuk bomba, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Sungai Sungai Sarawak (LSS), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) terbabit dalam operasi.

Turut terlibat adalah penduduk kampung dan saudara mara mangsa.

Reffinej Clarence, 9 tahun dilaporkan hilang selepas bot yang dinaiki bersama-sama enam ahli keluarganya dilaporkan terbalik sebelum karam kira-kira jam 4 petang, kerana arus deras sungai.

Ketika kejadian mereka dalam perjalanan pulang ke rumah panjang mereka yang terletak tidak jauh dari lokasi selepas pulang dari buah di kebun. – Sarawakvoice

sar-lemas-0001