“Universiti Kebencian” dan halalkan darah bukan daripada Ketua Pegawai Eksekutif MQA

KUALA LUMPUR: Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) menjelaskan semalam bahawa perkataan “Universiti Kebencian” dan “Halalkan Darah” merupakan perkataan yang dipilih dan digunakan sendiri oleh akhbar tabloid berkenaan.

Sebuah akhbar tabloid tempatan telah menggunakan perkataan berkenaan dalam beritanya semalam sehingga ada yang beranggapan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Datuk Profesor Dr Rujhan Mustafa telah menggunakan dan mengeluarkan kata-kata yang tidak sesuai.

MQA menegaskan bahawa makluman daripada Rujhan Mustafa kepada akhbar berkenaan adalah berdasarkan proses akreditasi program yang ditawarkan oleh Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT) semata-mata.

“Rujhan pada sesi temubual tersebut hanya menjelaskan berkenaan isu yang diajukan iaitu berkenaan persepsi yang sebuah institusi pengajian tinggi swasta di Malaysia yang menawarkan program tidak bersesuaian dengan fahaman agama di negara ini,” kata agensi itu dalam satu kenyataan media.

Beliau menjelaskan bahawa sesuatu program yang mendapat akreditasi MQA telah melalui proses penilaian yang terperinci di mana turut melibatkan penilaian oleh pakar bidang berkenaan.

Menurut beliau, sekiranya kandungan kurikulum pengajian yang ditawar oleh PPT didapati bercanggah dengan amalan di Malaysia, pakar bidang akan memberi teguran kepada PPT untuk memperbaiki silibus program agar bersesuaian dengan pemahaman akidah di negara ini sebelum ianya diluluskan dan diberikan perakuan Akreditasi MQA.

Kata kenyataan itu lagi, merujuk kepada pertanyaan asal iaitu berkenaan status institusi terbabit, Rujhan hanya menyentuh aspek penilaian MQA sahaja.

“Beliau mengesahkan  bahawa kurikulum program yang diluluskan telah mematuhi keperluan jaminan kualiti berdasarkan Kerangka Kelayakan Malaysia. Sebarang kenyataan lain yang dikeluarkan dalam artikel tersebut bukanlah kenyataan dari MQA,” ujarnya. – Sarawakvoice