Sudah 26 tahun masih belum punya kabinet bayangan

KUALA LUMPUR: Pakatan tidak mampu untuk menubuhkan satu kabinet bayangan walaupun sudah lapan tahun kewujudannya dan bagaimana ia akan menubuhkan kabinet kalau mereka menang pilihan raya, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Hakikatnya, kata beliau, pembangkang telah melahirkan lima gabungan sejak 1990, dan nampaknya sekarang ia masih belum lagi mengubah fikiran terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), menunjukkan selepas lebih daripada 26 tahun pembangkang masih lagi tidak stabil kedudukan mereka.

“Pakatan Harapan perlu menunjukkan kabinet bayangannya terlebih dahulu sebelum bercita-cita menubuhkan sebuah kerajaan,” kata  beliau di laman blognya http://sskeruak.blogspot.my/.

Beliau menyatakan jika isu mudah seperti kabinet bayangan, satu amalan biasa dalam kerajaan yang menggunakan sistem Westminster, tidak boleh diselesaikan, bagaimana pembangkang hendak melaksanakan perkara yang lebih besar.

“Rakyat tidak suka untuk terlibat di dalam ketidaktentuan dan dengan Pakatan Harapan inilah yang anda dapat,” katanya.

Naib Presiden  Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berkata, kalau Pakatan menang dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri jika kesemua anggota Pakatan menerima beliau.

Jika Yang di-Pertuan Agong mengampunkan beliau dan jika Anwar dibebaskan daripada penjara dan jika ada pilihan raya kecil dan jika Anwar menang pilihan raya kecil itu dan seterusnya.

“Terlalu banyak kalau yang terlibat di sini dan tiada yang dapat dijawab pada masa ini, ” kata beliau lagi.

Salleh menjelaskan Rafizi seperti meminta pengundi untuk memberikan kuasa dahulu kepada Pakatan kemudian Pakatan akan menyelesaikan ‘kalau’ yang banyak itu dan cuba menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri jika ia boleh berlaku. – Sarawakvoice