MIRI: Penurunan ketara dan mendadak kes pembalakan haram di negeri ini memberikan keyakinan bahawa “sifar pembalakan haram” bukan lagi mimpi sebaliknya akan dapat dicapai dalam tempoh empat tahun lagi.

Pengarah Jabatan Hutan Negeri, Sapuan Ahmad berkata, tindakan tegas dan pantas yang dilaksanakan oleh pasukan penguatkuasanya, termasuk menggunakan pelbagai teknologi moden dan terkini ternyata telah berjaya menghalang lebih banyak aktiviti pencerobohan dan penerokaan hutan secara tidak terkawal di negeri ini.

“Sehingga hari ini, hanya 93 pembalakan haram direkodkan di negeri ini berbanding 241 kes pada tahun 2014 dan 208 kes pada 2015,” katanya ketika menghadiri Majlis Penghargaan Usaha Membanteras Pembalakan Haram JHS 2016, di sini petang tadi.

Kejayaan ini menurut Sapuan, membuktikan undang-undang perhutanan negeri sudah cukup inklusif untuk memerangi aktiviti berkenaan yang bukan sahaja menyebabkan kehilangan hasil negeri, bahkan kemusnahan alam semulajadi.

“Pada masa yang sama, Jabatan Hutan Sarawak telah mengeluarkan kompaun bernilai RM8.53 juta atas pelbagai kesalahan pembalakan haram sehingga Oktober lalu.

Pada tahun 2014, jabatan tersebut telah merampas sejumlah 90,800 meter padu balak haram manakala pada tahun 2015, jumlahnya merosot pada 47,060 meter padu.

“Dan sehingga Oktober lalu, jumlah tersebut terus merudum sehingga 12,000 meter padu.

Jelas Sapuan lagi, sejak 2014, sebanyak 53 kes telah direkodkan membabitkan operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) diikuti 48 kes (JHS), 6 kes (Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia) dan 3 kes (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).

Sebanyak 16 kes telah dibawa ke mahkamah dan lapan individu telah dijatuhkan hukuman penjara atas kesalahan pembalakan haram. – Sarawakvoice