Monday, August 15, 2022

SFC tumpas dua cubaan curi kayu di dua taman negara

Secara Rawak

KUCHING: Tindakan pantas pasukan penguatkuasa Sarawak Forestry Corporation (SFC) dan kakitangan Taman Negara berjaya menggagalkan dua cubaan untuk mencuri kayu di dalam kawasan taman negara di Kuching dan Lundu, pada Rabu lalu.

SFC dalam satu kenyataan semalam berkata, cubaan pertama berlaku di Taman Negara Kubah dengan sekumpulan pemburu haram dipercayai cuba untuk mencuri ekstrak agarwood atau kayu gaharu dari taman tersebut.

“Pasukan penguatkuasa telah menemui bangsal sementara di kawasan sempadan taman yang ditinggalkan secara tergesa-gesa.

“Berdasarkan barang-barang yang ditinggalkan penceroboh, kita percaya mereka adalah warga asing,” kata kenyataan itu lagi.

Kes kedua berlaku di Taman Negara Gunong Gading di Lundu, membabitkan kumpulan pembalak haram.

“Pencerobohan dan pencurian kayu balak ini berjaya dikesan oleh kakitangan taman yang membuat rondaan.

“Renjer taman cuba untuk mengejar namun suspek berjaya meloloskan diri dengan meninggalkan dua bilah gergaji dan 241 batang kayu yang telah dibentuk.

“Semua kayu yang dirampas ini adalah daripada spesies Shorea yang amat berharga dari aspek komersial, “ jelas SFC lagi.

SFC telah melaporkan kedua-dua insiden ini kepada pihak polis, dan berikrar akan lebih berwaspada di seluruh taman negaranya, terutamanya pada musim cuti yang sedang berlangsung ketika ini. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru