Perdagangan Malaysia-China meningkat RM191.65 bilion pada 2016

0
4

KUALA LUMPUR: China memberi maklum balas positif terhadap peningkatan import kelapa sawit dari Malaysia selepas kunjungan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke China Oktober lepas.

Kunjungan tersebut membantu mengimbangi perdagangan antara kedua-dua negara berikutan harga minyak sawit menunjukkan peningkatan.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Chua Tee Yong berkata, usaha Matrade seperti penyertaannya dalam promosi dan pameran membantu meningkatkan eksport Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) ke China.

“Jualan yang dijana daripada lapan acara di China mencecah RM1.6 bilion, naik 10 hingga 15 peratus berbanding tahun sebelum ini,” kata Chua memetik laporan Bernama.

Beliau berkata Program Promosi Malaysia di Shanghai pada bulan lepas turut mencatatkan jualan lebih AS$60 juta (RM268 juta).

Chua bercakap pada sidang media selepas merasmikan Platform Promosi Perdagangan PKS China-Asean (CASTPP) pada Jumaat.

Menurut beliau, pihaknya menggalakkan lebih banyak PKS merebut peluang menyertai CASTPP meneroka pasaran besar China yang berpenduduk sekitar 1.9 bilion jiwa itu.

CASTPP merupakan seminar sehari mendedahkan peluang eksport bagi Malaysia dan China melalui kerjasama strategik dan usaha sama.

CASTPP turut menjadi platform meningkatkan pengetahuan pengeksport Malaysia berkaitan peluang perniagaan dan meningkatkan perdagangan dua hala dengan China.

Sebelum ini, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dalam kenyataan pada Jumaat mengumumkan perdagangan dua hala Malaysia-China dari Januari hingga Oktober 2016 mencecah RM191.65 bilion, naik 1.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Bagi tempoh sama, bagaimanapun eksport susut 7.2 peratus tahun ke tahun kepada RM77.40 bilion.

Sementara, import meningkat 7.9 peratus tahun ke tahun kepada RM114.25 bilion.

Analisis kepada pertumbuhan eksport yang rendah berpunca daripada aliran penurunan harga komoditi melibatkan faktor harga minyak dan gas yang menjadi cabaran kepada perdagangan. – Sarawakvoice