Hubungan PAS dan DAP: Benci tapi rindu?

Dr Awang Azman Awang Pawi
Dr Awang Azman Awang Pawi

Negeri Kelantan berjaya membentuk pemerintahan mereka sendiri pada tahun 1959-1977. Tempoh 18 tahun tersebut penuh dengan pancaroba hingga jatuh  semula ke tangan Barisan Nasional (BN).

Terengganu hanya berjaya  dikuasai  selama tiga tahun dari 1959-1962 manakala pada tahun 1999-2004 hanya berkuasa selama lima tahun sebelum jatuh ke tangan UMNO. Kedah pula hanya berjaya dikuasai PAS selama satu penggal, iaitu tahun 2008-2013.

Kelantan meneruskan tradisi ‘kepembangkangan’ apabila menawan Kelantan  dan menjadikannya sebagai pusat utama gerakan PAS  sejak tahun 1990 hingga kini. Jadi, sudah 26 tahun PAS berkuasa di negeri Kelantan dan tidak mungkin cengkaman kuat ini akan berjaya dileraikan pada masa kini.

Hubungan PAS dengan DAP Tahun1969

Pada pilihan raya umum  (PRU) 1969, pemimpin DAP terutama Dr Chen Man Hin  sudah mula memikirkan strategi kerjasama dengan parti lain untuk menghadapi Perikatan, iaitu nama kumpulan komponen  sebelum membentuk BN.

Ketika itu parti Gerakan masih lagi merupakan parti pembangkang tegar yang menolak perjuangan UMNO. Parti Progresif Rakyat juga merupakan parti pembangkang yang kuat ketika itu.

Masing-masing parti Gerakan, PPP dan PAS bekerjasama dalam soal pembahagian kerusi.  Tokoh gerakan PAS yang terkenal Datuk Mohd Asri yang juga merupakan Presiden PAS ketika  itu bersikap terbuka dan bersedia bekerjasama dengan DAP.  

Strategi pembangkang adalah dengan memastikan  tidak wujud pertarungan sesame sendiri.  Hal ini bermakna,  setiap calon dari barisan pembangkang akan berlawan satu sama satu dengan pihak Perikatan (BN) tahun 1969.

Ternyata strategi ini amat ampuh dan kesannya, perikatan tewas di Pulau Pinang dan  sukar untuk  membentuk kerajaan penuh di Perak dan Selangor.

Kerjasama 1978

Hasil kerjasama pembangkang  membuka jalan kerjasama seterusnya  antara PAS dengan DAP. PAS bertindak  sebagai pemecah undi dan ini bermaksud di kawasan pengundi yang terdiri daripada majoriti bukan Melayu. PAS akan berkempen meraih sokongan pengundi Melayu. Dengan ini, MCA sebagai anggota Perikatan tidak dapat sokongan orang Melayu kerana sudah ditarik oleh PAS.  

Hal ini menyebabkan  pengundi Cina sesama  etnik mereka sahaja menentukan sama ada memilih DAP atau MCA. Situasi ini memberikan kelebihan kepada PAS

Pengundi Melayu di kawasan Bukit Mertajam, Damansara, Gopeng dan Beruas berjaya dikuasai melalui strategi licik ini.

Pada masa sama PAS dibantu DAP dalam menguasai Kuala Kurai di Perak. Demikian politik kerjasama ini memberikan kesan positif kepada pembangkang. Yang penting ialah memperoleh kerusi dan bukan sangat tentang ideologi islam atau sebagainya dalam situasi tersebut.

Bibit Keretakan  1990

Hubungan PAS dengan DAP mulai retak apabila  kedua-dua pemimpin ini sering menyatakan  sikap dan pendirian secara terbuka. Jadi, perbezaan ideologi kedua-dua parti ini terserlah.

Akibatnya,  kerjasama ini tidak membuahkan hasil yang memuaskan.

Perpecahan dan Pilihan raya 1999 dan Kebangkitan PAS?

Akibat jentera kempen BN yang ampuh dan sentimen politik keetnikan begitu tinggi, barisan pembangkang mengalami kekalahan yang teruk.

Kebangkitan PAS sebagai parti dan gerakan Islam mulai dibimbangi oleh pengundi Cina. Mereka bimbang PAS menjadi terlalu kuat dan berkuasa. Lidah rasmi akhbar  parti,  iaitu, Harakah pada era tahun 1998  melonjakkan jualan sehingga 350,000  naskhah daripada 30,000 hingga 60,000  naskhah sehari.

Kebangkitan suara parti  berteraskan agama ini menyebabkan pengundi Cina berasa gusar, lantas pengundi Cina kembali kepada sokongan terhadap BN khususnya MCA dan Gerakan.

Kebimbangan orang Cina berlaku apabila terdapat kempen bahawa mengundi DAP bermakna menyokong PAS dan negara Islam, serta undi PAS tidak akan menguntungkan orang Cina.

Akibat daripada ini, situasi yang ditafsirkan sebagai Islamophobia ini  telah mengakibatkan Lim Kit Siang dan Karpal Singh terpelanting dan tewas dalam pilihan raya.  

Kekalahan  Lim Kit Siang merupakan satu rekod sejarah  politik negara kerana tidak pernah  beliau tewas dalam pilihan raya sepanjang hidup sebagai ahli politik yang dianggap hebat oleh pihak pembangkang sendiri.

Pola Politik berubah 2008

Pengaruh Anwar Ibrahim sebagai penasihat Partik Keadilan Rakyat (PKR)  sangat  kuat dan  beliau dihormati oleh semua pemimpin pembangkang. Anwar dianggap sebagai pembawa perpaduan dalam perbezaan ideologi parti DAP dan PAS khususnya.

Apabila Anwar meyakinkan agar  tidak perlu bertelagah sesama sendiri, sebaliknya fokus kepada usaha menawan Putrajaya dan  menasihat agar calon pembangkang tidak sabotaj satu sama lain dengan memastikan satu lawan satu terhadap pihak pembangkang.

PAS dan DAP akur dengan nasihat dan kepemimpinan Anwar. Kesan daripada ini, dalam pilihan 2008, pembangkang berjaya menawan Pulau Pinang, Kedah, Perak, Kelantan dan Selangor. PAS banyak meram PAS kerusi daripada UMNO.

Kemuncak 2013?

Hubungan PAS dengan  DAP sering mendapat perhatian dan dijadikan bahan kempen. Ini termasuklah kempen kononnya PAS akan menjadi boneka DAP. Di sisi yang lain pula, kedengaran  kempen DAP pula akan menjadi alat PAS.

Kekuatan hubungan PAS dengan DAP memberikan kemenangan berkesan kepada Pakatan Rakyat sehingga pakatan ini memanfaatkan  semua parti yang terlibat.  Pakatan berjaya memperoleh 50.87 peratus undi popular dan BN pula memperoleh 47.38 peratus.

Pilihan raya 2016 atau 2017?

Bila pun tarikh PRU, persoalan  yang paling menarik ialah berjayakah PAS memulihkan hubungan dengan DAP sebelum pilihan raya akan datang?

Mampukah DAP berkompromi  isu-isu politik dengan PAS?

Dalam keadaan Anwar  masih lagi di penjara, siapakah yang menjadi penghubung yang menjadi pengikat kerjasama politik?

Mampukah Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil alih peranan Anwar   menjadi tali penghubung antara PAS dengan DAP?

Setakat ini, dengan ketiadaan Anwar sebagai faktor perpaduan komponen,  dan hubungan keruh PAS dengan DAP, ditambah lagi hubungan dingin Amanah dengan PAS sukar untuk pembangkang untuk bertaut kembali seperti 2008 dan 2013.

Adakah ini bersifat sementara? Justeru, situasi dan detik politik  yang akan berlaku dalam masa terdekat ini akan menentukan kelangsungan hayat Pakatan Harapan dan PAS.  

Mungkin  PAS akan bertaut kembali dengan DAP dengan mengambil kira  kerjasama yang lama. Namun setakat ini, PAS semacam  serik bekerjasama dengan DAP. – Sarawakvoice