Wednesday, December 7, 2022

4 pintu masuk panas, dan modus operandi terkini penyeludup ke Sarawak dikenal pasti

Secara Rawak

KUCHING: Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak mengenal pasti empat “pintu masuk panas” dan modus operandi terkini yang digunakan oleh sindiket antarabangsa dalam menyeludup masuk pelbagai item barangan bercukai ke negeri ini.

Pengarahnya, Ahmad Jii berkata, empat pelabuhan tersebut ialah Pelabuhan Senari, Pelabuhan Tanjung Manis, Pelabuhan Sibu dan Pelabuhan Bintulu.

“Manakala modus operandinya adalah dengan mengisytiharkan item tersebut sebagai item seperti perhiasan diri dan pakaian menerusi syarikat yang tidak wujud,” katanya dalam sidang media khas sempena kejayaan terkini jabatan tersebut merampas tiga kontena dalam cubaan menyeludup arak dan rokok putih, dengan nilai cukai RM8.2 juta di Pelabuhan Senari pada Rabu lalu.

Kejayaan mengekang penyeludupan dengan modus operandi yang sama itu adalah hasil risikan dan maklumat awam, sejak ketibaan kontena tersebut awal bulan ini.

Kata Ahmad, kontena-kontena tersebut tiba dari Singapura dan diimport oleh syarikat “halimunan” dengan kandungan kontena pertama adalah rokok putih manakala dua lagi kontena mengandungi minuman keras, dengan nilai keseluruhan RM0.87 juta.

Kesemua barangan tersebut kemudian disita di bawah peruntukan seksyen 114 Akta Kastam 1967 kerana disyaki diimport tanpa lesen yang sah.

Menurutnya lagi, rokok dan minuman keras merupakan item yang dilarang import di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2012, kecuali dengan lesen import yang sah yang diluluskan oleh Ketua Pengarah Kastam.

“Kedua-dua item ini juga tertakluk kepada duti import, duti eksais dan juga cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Setakat ini katanya, tiada sebarang tangkapan dibuat manakala kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

Jika berjaya disabitkan, pesalah di bawah seksyen ini berhadapan denda tidak kurang 10 kali dan tidak melebihi 20 duti kastam atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Untuk kesalahan kedua dan seterusnya, pesalah berhadapan denda tidak kurang 20 kali dan tidak melebihi 40 kali duti kastam, atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali.” – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru