Aleppo:Jangan burukkan keadaan, benarkan bantuan kemanusiaan

0
2

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) memandang serius dan penuh prihatian perkembangan yang sedang berlaku di Aleppo, Syria pada masa ini.

Pertempuran antara kumpulan penentang rejim Bashar al-Assad dengan pemerintah Syria yang disokong Rusia dan Iran telah berakhir.

Justeru, Timbalan Ketua, DPPM Muhammad Khalil Abdul Hadi menggesa semua pihak yang terbabit dan berkepentingan supaya tidak bertindak memburukkan keadaan dan mengambil segala langkah yang perlu untuk membenarkan bantuan kemanusiaan sampai kepada semua mangsa terutama orang awam.

“Pemerintah pimpinan Presiden Bashar al-Assad wajib bertanggungjawab ke atas tindakan yang membawa kepada bencana kemanusiaan yang disaksikan pada masa ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, DPPM menggesa proses politik dalaman yang demokratik dilaksanakan selepas keadaan kembali reda.

Walau bagaimanapun, ujar beliau, apa yang berlaku di Aleppo ialah satu peristiwa daripada isu lebih besar melibatkan pakatan antara negara-negara Arab dan Barat untuk menjatuhkan kerajaan yang sah dengan mengangkat senjata, yang natijah buruknya telah terzahir sejak lebih lima tahun lalu.

“Pas konsisten dengan sikap menolak kezaliman pemerintah, tetapi pada masa sama menolak campur tangan asing yang matlamatnya bertentangan dengan keperluan rakyat dan kepentingan umat Islam,” tambahnya.

DPPM menyeru negara-negara Islam yang terlibat agar mengetepikan perbezaan politik dan mazhab untuk membantu memulihkan keadaan dan mencari penyelesaian akhir kepada konflik di Syria melalui jalan aman dan diplomasi.

“Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) wajar mengambil tanggungjawab membantu, menggunakan kuasa dan pengaruh demi kebaikan rakyat Syria. Kepentingan orang ramai dan umat Islam hendaklah menjadi prioriti utama dalam menangani kes Syria, dan juga krisis dan konflik di seluruh dunia Arab yang berpunca daripada kebangkitan dikenali Arab Spring,” jelasnya.

Dalam usaha ke arah mencari penyelesaian, Pas, katanya lagi, bersedia untuk membantu menjadi orang tengah melalui kedudukan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Naib Presiden Kesatuan Ulama Sedunia untuk membuka ruang kepada kerajaan Malaysia berunding dengan negara-negara Islam lain bagi menyelesaikan isu Syria.

DPPM, katanya, berharap semua pihak mengambil pengajaran daripada krisis dan konflik yang telah memusnahkan ini dan segera mengambil tindakan berani untuk memulihkan keadaan. – Sarawakvoice