BINTANGOR: Misteri kehilangan pencari siput yang ghaib di Sungai Stubah pada Isnin lalu terjawab apabila mayatnya dijumpai terapung di Tanjung Pengaek, Daro, kira-kira 10 batu dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Farhan Sufyan Borhan, mayat mangsa yang dikenali sebagai Clement Guntur, 43 tahun, ditemui oleh penduduk kampung yang kemudian memaklumkannya kepada pihak berkuasa.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke pekan Bintangor menggunakan bot sebelum dibawa ke Hospital Sarikei menggunakan kenderaan polis,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Dalam kejadian Isnin lalu, Clement yang keluar mencari siput sejak jam 7 pagi bersama-sama rakannya dari Rumah Bala, yang terletak berhampiran sungai tersebut didapati tidak berada di dalam botnya, ketika dihampiri rakan-rakannya empat jam kemudian.

Bot mangsa sebaliknya ditemui hanyut tanpa penghuni, menyebabkan rakan-rakannya berasa curiga dan bimbang dan mengambil tindakan membuat laporan ke Balai Polis Bintangor untuk tindakan selanjutnya

Pihak polis kemudian memaklumkan kejadian kepada Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor sekitar jam 2.08 petang yang kemudian mengaktifkan gerakan mencari dan menyelamat (SAR).

Sementara itu, Adun Daro, Safiee Ahmad bertemu dgn keluarga Clement, mangsa lemas di Rh Bala, Stubah bagi menyampaikan bantuan segera sebentar tadi. – Sarawakvoice

lemas-bintangor-0000