SIBU: Selepas tiga hari hilang, seorang mangsa bot karam di Nanga Tamalat, Song berjaya ditemui di hilir Jambatan Durin dekat sini sebentar tadi.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Farhan Sufyan Borhan, mayat Rudy Alfodance, 7 tahun ditemui sekitar jam 1.52 tengah hari tadi, hasil maklumat pengguna bot ekspres yang melintasi kawasan berkenaan sekitar jam 11.35 pagi.

“Setelah dapat maklumat, bot polis marin telah dikejarkan ke sana untuk mendapatkan mangsa

“Tumpuan kini diberikan untuk mencari seorang lagi mangsa iaitu kakak mangsa, Reffinej Clarence yang berusia 9 tahun,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Mayat mangsa katanya, telah dibawa ke Hospital Sibu untuk menjalani proses bedah siasat.

Dalam kejadian Isnin lalu, sebuah bot panjang yang dinaiki tujuh mangsa iaitu empat dewasa dan tiga kanak-kanak karam berikutan arus deras.

Kesemua mangsa, dua lelaki dan dua wanita dewasa serta seorang kanak-kanak perempuan bagaimanapun telah dapat menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing sungai, manakala dua kanak-kanak yang juga adik beradik dilaporkan hilang.

Berikutan itu, satu operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkkan di sepanjang kawasan Batang Rajang, terutama di sekitar 10km radius kawasan tragedi bagi mengesan mangsa.

Usaha SAR turut melibatkan Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA) daripada Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah, Sibu. – Sarawakvoice