Monday, August 15, 2022

DBKU kini kuat kuasa lesen anjing, denda jika gagal berbuat demikian

Secara Rawak

KUCHING: Semua pemilik anjing di kawasan bandar raya Kuching Utara kini diwajibkan untuk mendapatkan lesen anjing seperti termaktub dalam Undang-undang Kecil The City of Kuching North (Dog Licence) By-laws, 1991.

Menurut kenyataan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) hari ini, pengeluaran lesen anjing ini adalah untuk memudahkan pihak DBKU memantau, mengelak, dan mengawal penularan penyakit bawaan anjing gila atau lebih tepat, penyakit Rabies.

“Pemilik anjing yang hendak mendapatkan lesen tersebut perlu mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.

“Antaranya termasuklah anjing peliharaan hendaklah sentiasa berada di halaman rumah dan tidak boleh dibiar berkeliaran.

Anjing kata kenyataan itu, hendaklah dirantai, dikawal rapi dan dibawah jagaan pemilik setiap masa apabila dibawa bersiar-siar.

“Anjing peliharaan tersebut juga hendaklah tidak menyerang atau menyebabkan kecederaan kepada orang awam dan ternakan serta menyebabkan kerosakan ke atas harta benda awam.

Berdasarkan The City of Kuching North (Dog Licence) By-laws, 1991, yuran pembayaran lesen setahun bagi seekor anjing adalah sebanyak RM10.00.

“Sesebuah premis hanya dibenarkan membela maksimum tiga ekor anjing.

“Bagaimanapun, sekiranya terdapat lebih daripada jumlah yang telah dihadkan, bayaran sebanyak RM30.00 akan dikenakan untuk setiap pertambahan bilangan anjing yang dipohon.

Bagi anjing yang telah dilesenkan, katanya pemilik anjing perlu memastikan lencana pengenalan yang disediakan khas oleh DBKU sentiasa berada di leher anjing tersebut.

Undang-undang Kecil The City of Kuching North (Dog License) By-laws 1991 diwujudkan untuk menjaga kepentingan warga kota Kuching Utara.

“Kegagalan pemilik anjing untuk mematuhi undang-undang tersebut boleh dikenakan denda sebanyak RM500.00 bagi kesalahan pertama dan RM1,000.00 bagi kesalahan kedua dan seterusnya jika disabitkan kesalahan berterusan.

Permohonan Lesen Anjing ini bolehlah dibuat di Pejabat Pelesenan DBKU di Tingkat 2, Pusat Komersial Al-Idrus, Jalan Satok, Kuching manakala sebarang pertanyaan berkenaan permohonan lessen anjing ini bolehlah menghubungi talian 082-234654/ 234657. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru