Saturday, October 23, 2021

Operasi cari dua kanak-kanak hilang, bot karam di Song diteruskan dengan pasukan penyelam

Mesti baca

KAPIT: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua kanak-kanak yang terlibat dalam tragedi bot karam di Kampung Tamalat, Song semalam diteruskan pagi ini.

Operasi SAR akan turut disertai oleh pasukan Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah seramai enam orang yang menaiki kevlar ke lokasi pagi ni.

Dalam kejadian petang semalam, dua kanak-kanak dilaporkan hilang selepas bot panjang yang membawa mereka karam di Batang Rajang.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Farhan Sufyan Borhan memberitahu, kejadian berlaku sekitar jam 4.52 petang semalam dan pihaknya dimaklumkan 10 minit kemudian.

“Sebuah jentera dan sebuah bot dengan kekuatan enam anggota dikejarkan ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Song bagi mengaktifkan gerakan SAR.

Kata Farhan, pihaknya dimaklumkan bahawa bot tersebut karam berikutan arus sungai yang terlalu deras.

Lelaki dewasa yang mengemudi bot tersebut bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing manakala dua cucunya, seorang kanak-kanak lelaki dan seorang lagi perempuan hilang, dipercayai hanyut dibawa arus.

Mangsa kemudian dikenal pasti sebagai Reffinej Clarence berusia 9 tahun dan Rudy Alfadance berusia 7 tahun. – Sarawakvoice

Secara Rawak

Artikel Terbaru