PRU14: Amanah sekadar melukut di tepi gantang?

0
5

Amanah berazam untuk menentang Pas di semua kerusi yang ditandingi parti Islam itu pada pilihan raya umum  (PRU) akan datang.

Musuh Amanah kini kelihatannya bukan Umno atau Barisan Nasional, tetapi Pas.

Mengapakah Amanah mempunyai pendirian sedemikian? Adakah kerana parti serpihan Pas itu kecewa dengan parti asalnya?

Kalau perkara itu berlaku, maka impian pengundi untuk melihat berlakunya pertembungan satu lawan satu pada PRU14 nanti hanya tinggal impian.

Amanah kini memegang enam kerusi Parlimen, manakala Pas 14.

Memang tidak mudah bagi mana-mana parti baharu untuk bertapak, termasuk Amanah. Apatah lagi Amanah kini perlu bersaing bukan sahaja dengan Pas, tetapi juga dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Mampukah Amanah menggantikan Umno, Pas dan PKR sebagai suara baharu Melayu? Atau ia tidak lebih sebagai melukut di tepi gantang, sekadar berada di pinggiran dan tidak mampu memberi sebarang kesan?

Kini, Amanah diserang oleh Pas dan Umno sebagai satu daripada musuh politiknya.

Pengarah Komunikasi Khalid Samad semalam mengakui parti itu berhadapan kesukaran mengukuhkan kewujudannya dalam menghadapi tentangan daripada Pas dan Umno yang dianggap parti utama mewakili orang Melayu.

Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata Amanah terbentuk berbulan-bulan lamanya selepas pembersihan puak “progresif” di Muktamar PAS tahun lepas, tidak seperti parti Melayu lain yang ditubuhkan untuk mencabar Umno.

Berdasarkan pencapaian dan penampilannya setakat ini, Amanah perlu berusaha keras untuk meyakinkan rakyat bahawa ia dapat digantung harap.

Malangnya, Amanah belum lagi berupaya menonjolkan dirinya sebagai sebuah parti yang berwibawa. Amanah masih lagi bergelut untuk menjadi parti yang dikenali. Ia belum menyerlah dari segi identiti dan integriti.

Apakah dasar dan perjuangan Amanah? Bagaimanakah ia berbeza daripada PKR, Umno dan Pas? Adakah pengundi yakin terhadap kemampuan Amanah?

konvensyen-amanah-0006

Hakikatnya, Amanah memang komited untuk bergerak dalam rangka kerja Pakatan Harapan, kerana percaya bahawa dengan itu sahaja, ia dapat memberi kesan. Amanah yang tidak bersatu dengan parti pembangkang lain tidak akan ke mana-mana.

Konvensyen pertama Amanah yang  berlangsung Sabtu dan Ahad di Shah Alam dapat dianggap sebagai platform terbaik untuknya mempersiapkan diri menghadapi PRU ke-14.

Pimpinan dan perwakilan utama Amanah dari seluruh negara, semua pimpinan utama Pakatan Harapan menyertai majlis perasmiannya.

Yang turut hadir dalam konvensyen kebangsaan Amanah itu ialah Tun Dr Mahathir Mohamad dan Lim Kit Siang.

Kelmarin Presiden Amanah, Mohamad Sabu yang mesra dikenali sebagai Mat Sabu dalam pidatonya menegaskan Amanah akan terus berpaksi kepada politik budiman dan akan berjuang bersama-sama rakan Pakatan Harapan ke arah perubahan politik di negara ini.

Mampukan pidato Mat Sabu mengukuhkan motivasi ahli dan pemimpin akar umbi Amanah?

Sejauh mana Amanah berupaya mencatatkan kejayaan pada PRU nanti banyak bergantung kepada keupayaannya meyakinkan rakyat terhadap kemampuannya menerajui negara.

Juga, kualiti calon dan keberkesanan jentera akar umbinya.

Kalau tidak, Amanah akan menjelma sebagai sekadar sebuah parti nyamuk yang tidak membawa sebarang kesan.