Lagi gesaan minta Lim Guan Eng cuti sementara

GEORGE TOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng perlu bercuti sementara setelah Mahkamah Tinggi di sini menetapkan tarikh perbicaraan kes rasuah beliau dan ahli perniagaan Phang Li Koon bermula Mac tahun depan, kata Timbalan Ketua Pemuda MCA negeri Ang Chor Keong.

Tarikh perbicaraan itu ditetapkan pada 27 hingga 31 Mac, 10 hingga 14 April, 24 hingga 28 April, 15 hingga 19 Mei, 29 Mei hingga 2 Jun, 13 hingga 16 Jun dan 17 hingga 21 Julai tahun depan.

Beliau berkata, Lim perlu berbuat demikian bagi memastikan pentadbiran negeri tidak terganggu dan demi kepentingan rakyat Pulau Pinang.

“Tugas ketua menteri berat, ia melibatkan pertumbuhan ekonomi, kebajikan rakyat termasuk kemasukan pelaburan asing,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

“Sebelum ini mungkin beliau (Lim) tak perlu ambil cuti, tapi kini mahkamah dah tetapkan tarikh perbicaraan, jadi demi kehendak dan kepentingan rakyat beliau perlu bercuti sementara,” katanya.

Pada 6 Dis lepas mahkamah menetapkan 34 hari bermula 27 Mac 2017 bagi perbicaraan kes rasuah Lim dan Phang berhubung pembelian banglo di bawah nilai pasaran.

Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail berkata tarikh perbicaraan yang diberikan mahkamah juga tidak boleh dipinda memandangkan ia dipersetujui pasukan pendakwaan dan pembelaan.