Elak tragedi di hospital, Bomba Sarawak latih jururawat, doktor – Pengarah

0
8

KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak kini melatih para jururawat dan doktor untuk menjadi kumpulan pertama yang memberi tindak balas sekiranya berlaku kebakaran melibatkan wad dan ruang rawatan di hospital.

Pengarahnya, Nor Hisham Mohamed berkata, ada kawasan seperti bilik bedah dan Unit Rawatan Rapi yang menempatkan mereka yang kritikal, justeru sebaik-baiknya mangsa tidak dipindahkan jika berlaku kecemasan.

“Ini kerana ia akan mengambil masa yang panjang.

“Sebaliknya kita sedang membentuk modul untuk membolehkan kakitangan yang ada di dalam unit itu menangani insiden ini terlebih dahulu, dan cuba untuk elakkan ia untuk merebak ke tempat lain.

“Pada masa yang sama mereka menjadi mata dan telinga kepada pihak pengurusan untuk terus memberi makluman jika berlaku kerosakan, yang boleh membawa kepada kebakaran,” katanya ketika ditemui ketika hadir pada Majlis Pelancaran Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komuniti di kawasan Dun Batu Kawah pagi tadi.

Pihak bomba katanya, akan memberikan kerjasama dengan menyediakan kemahiran kepada kakitangan-kakitangan yang terlibat.

Menurut Nor Hisham lagi, pihaknya baharu sahaja melengkapkan fasa pertama pemeriksaan hospital yang berusia lebih 50 tahun dalam tempoh dua minggu yang lalu.

“Di Sarawak ini kita ada tujuh buah hospital yang berusia lebih 50 tahun.

“Selain sistem pendawaian, kita juga memperoleh penemuan-penemuan baharu yang boleh diperhalusi oleh Jabatan Kesihatan untuk menentukan tahap keselamatan hospital-hospital ini terjamin.

“Kita telah telah mengemukakan laporan penuh tersebut kepada Kementerian Kesihatan untuk dikumpul, dikaji dan dibuat perancangan bagi mengatasi masalah-masalahnya.

Katanya, ada antara perkara tersebut yang didapati agak kritikal.

“Kita akan cuba bekerjasama dengan pihak hospital tersebut untuk mengatasi segera masalah ini.

“Ini termasuk isu lif kerana pada waktu evakuasi, kadar penggunaan lif adalah tinggi.

Jelas Nor Hisham lagi, pihaknya juga telah mengadakan siri latihan kecemasan dan ia akan diteruskan dengan fokus yang berbeza, iaitu pihak hospital memberi tindak balas yang pertama.

Tujuh hospital yang berusia lebih 50 tahun tetapi masih berfungsi dengan baik di negeri ini ialah Hospital Umum Sarawak, Hospital Sentosa, Hospital Rajah Charles Brooke, Hospital Bau, Hospital Kapit, Hospital Marudi dan Hospital Lundu. – Sarawakvoice