MIRI: Dua pelajar Nigeria dari Universiti Curtin di sini hilang selepas bot yang dinaiki mereka karam di Taman Negara Loagan Bunut di sini.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Farhan Sufyan Borhan berkata, kejadian berlaku sekitar jam 11 malam tadi manakala laporan hanya diterima sekitar jam 7.01 pagi tadi.

“Ketika kejadian, bot fiber berukuran 20 kaki yang dipandu seorang warga tempatan sedang membawa rombongan enam pelajar universiti terbabit untuk melakukan aktiviti melihat buaya di kawasan Tasik Taman Negara Loagan Bunut.

“Bagaimanapun, bot tersebut karam ketika mereka melaksanakan aktiviti terbabit.

“ Empat pelajar dan pemandu bot terbabit sempat menyelamatkan diri manakala dua lagi pelajar hilang.

Kata Farhan, kejadian tersebut hanya disedari apabila orang awam menjumpai pemandu bot tersebut, sebelum membuat laporan kepada pengurus Taman.

Pengurus Taman Loagan Bunut, Antohony Chong kemudian melakukan tindakan awal dengan menggerakkan satu pasukan Tindak Balas Kecemasan (ERT) seramai lima orang ke lokasi kejadian.

“Kedua-dua mangsa adalah warganegara Nigeria dan dikenal pasti sebagai Amatie Mohamad dan Enine Danial.

“Sepasukan anggota telah digerakkan ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Marudi untuk mengaktifkan gerakan mencari dan menyelamat (SAR),” katanya lagi.

Perjalanan darat dari pekan Marudi ke Long Tinjar memakan masa selama empat jam manakala perjalanan menaiki bot dari Long Teru mengambil masa satu jam untuk sampai ke Tasik Loagan Bunut. – Sarawakvoice