Bajet Sarawak defisit RM385 juta pertama kali dalam 14 tahun

KUCHING: Sarawak menghadapi defisit bajet pertama dalam tempoh 14 tahun sebanyak RM385 juta.

Menurut Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem, faktor menyumbang kepada defisit ini antaranya ialah kelemahan pasaran dan jatuhnya mata wang Malaysia, harga komoditi yang lebih rendah serta kos hidup yang lebih tinggi.

Bagi mengekalkan pembangunan sosioekonomi, menurut Adenan, kita seharusnya berusaha memperluas asas ekonomi, meningkatkan pengetahuan dan kemahiran serta menjadi lebih berkesan serta inovatif.

Bercakap dalam Sarawak Civil Service Excellence Night di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, Adenan mahu Sarawak cergas menangani cabaran luar dan ketidaktentuan pasaran.

Beliau mahu Lebuh Raya Pan Borneo menjadi pemangkin merapatkan jurang pembangunan di Sarawak.

Adenan menegaskan Kerajaan Negeri berusaha meningkatkan bahagiannya daripada royalti minyak dan gas yang dikeluarkan oleh Sarawak secara diplomasi bukan secara konfrontasi.

Jelas Adenan, rundingan dengan Putrajaya dalam penurunan kuasa terus dilaksanakan dalam mencari penyelesaian terbaik yang boleh diterima kedua-dua pihak.

Terdahulu, Adenan menyempurnakan program “Leadership Institute of Sarawak Civil Service” dan melancarkan Institut Kepimpinan bagi Program Prestasi Tinggi (HPL). – Sarawakvoice