Pengawal peribadi diwajibkan latihan khas dan pentauliahan PDRM mulai tahun depan – KDN

KUALA LUMPUR: Bermula tahun hadapan, semua pengawal peribadi perlu menjalani latihan khas dan pentauliahan oleh Polis Di Raja Malaysia (PDRM), kata Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim.

Menurutnya, latihan ini adalah mandatori dan wajib untuk setiap pembaharuan tahunan lesen membawa dan menggunakan senjata api oleh syarikat pengawal keselamatan swasta di negara ini.

“ Tindakan ini perlu untuk memastikan syarikat keselamatan tidak sewenang-wenangnya menyewakan senjata api mereka kepada mana-mana individu ,” katanya ketika menutup rasmi Program Latihan Pengawal Keselamatan bertauliah 38/2016 di sini semalam.

Memetik Bernama, Alwi berkata, latihan tersebut bertujuan meningkatkan pemantauan serta memastikan kualiti pegawal keselamatan swasta berada pada tahap terbaik.

“Ia juga untuk memastikan mereka cukup terlatih, selain sentiasa menjadi mata dan telinga polis,” katanya.

Sebanyak 408 pengawal keselamatan menamatkan latihan enam hari di Pusat Latihan Polis di sini yang bermula Isnin lalu. Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dan Presiden Persatuan Khidmat Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM), Datuk Seri Mustapa Ali.

Dalam kenyataan media yang diedarkan sebelumnya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan telah membatalkan 10 lesen syarikat keselamatan manakala 10 yang lain diberi amaran akhir kerana melanggar pelbagai peraturan yang ditetapkan.

Ini berikutan 332 operasi penguatkuasaan bersepadu yang dijalankan oleh kementerian ini, bersama-sama dengan pihak PDRM, Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara.

Pemeriksaan turut melibatkan 195 sekolah dan 21 hospital, bagi memastikan syarikat dan pegawal keselamatan terbabit mematuhi peraturan dan arahan di bawah Akta Agensi Persendirian 1971. – Sarawakvoice