Monday, November 28, 2022

Kereta jatuh gaung 140m, tergolek 8 kali di Limbang, warga emas panjang umur

Secara Rawak

LIMBANG: Berpantang maut sebelum ajal. Kerana menggunakan tali pinggang keledar,  seorang warga emas selamat biarpun berhadapan detik getir dengan kenderaannya tergolek lapan kali ke dalam gaung berbatu sejauh 140 meter di sini, petang tadi.

Biarpun kenderaan Toyota Hilux yang dipandunya remuk, lelaki berusia 64 tahun hanya mengalami cedera ringan, dan berjaya dipapah keluar untuk naik ke tebing.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Limbang
Tawang Linggem, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Limbang

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Limbang, Tawang Linggem memberitahu, pihaknya dimaklumkan berhubung kejadian itu sekitar jam 3.44 petang.

“Sebuah jentera bomba, sebuah ambulans EMRS dan kenderaan utiliti dengan kekuatan 10 anggota dikejarkan ke lokasi di Lubuk Pasu, Jalan Bawang Ubor, dekat sini dan tiba 42 minit kemudian.

“Pasukan kemudian menuruni tebing gaung tersebut untuk mengeluarkan mangsa yang terperangkap.

Kata Tawang, disebabkan keadaan mangsa yang cedera ringan, pasukan hanya memapah mangsa untuk naik ke tebing sebelum diserahkan kepada pasukan paramedik bomba dan dibawa ke Hospital Limbang untuk rawatan susulan.

Turut berada di lokasi ialah anggota polis dan keluarga mangsa.

Menurut Tawang, mangsa kemudian dikenal pasti sebagai Ujai @ Ahong Taka, dari Rumah Jubang Kampung Tanah Merah Nanga Medamit.

“Kenderaan tersebut terbabas dipercayai kerana hilang kawalan,” katanya lagi.

Kes telah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut. – Sarawakvoice

gaung-140m-0006 gaung-140m-0005 gaung-140m-0003 gaung-140m-0002 gaung-140m-0001 gaung-140m-0007

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru