Proses penggantian lif Hospital Umum Sarawak bermula, dijangka siap pada Mei 2018 – Pengarah

KUCHING: Dengan proses naik taraf lif yang sedang dilaksanakan di Hospital Umum Sarawak (HUS) ketika ini, pengurusan hospital itu meminta orang ramai agar bersabar kerana terpaksa berhadapan sedikit kesukaran dalam menggunakan kemudahan itu sehingga Mei 2018.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kepada media, Pengarah HUS Dr Chin Zin Hing berkata, ketika ini kerja-kerja naik taraf telah dimulakan dengan proses penggantian dua unit lif di bangunan RTU atau Unit Radioterapi.

“Projek ini telah bermula pada April lalu dan dijangka siap dalam tempoh 14 bulan, iaitu sehingga 3 Jun 2017.

“Kontraktor telah membuat tempahan sistem lif dari Taiwan dan kerja-kerja penggantian telah dimulakan pada Oktober lalu.

Kerja-kerja ini kata Zin Hing, dilaksanakan secara berfasa dengan penggantian satu demi satu lif demi memastikan perkhidmatan di RTU tidak terganggu.

Katanya lagi, pihak hospital turut mengehadkan waktu bekerja bagi kontraktor bagi mengelakkan gangguan dari segi pencemaran bunyi dan juga udara kepada pesakit, pelawat dan staf hospital, seterusnya menjaga keselesaan mereka.

“Proses penggantian lif pertama telah hampir siap dan dijangka akan beroperasi sepenuhnya pada hujung bulan ini.

“Setelah itu kerja-kerja penggantian lif kedua akan dimulakan, dan dijangka dapat disiapkan lebih awal berbanding jadual yang ditetapkan.

Kata Zin Hing lagi, kerja-kerja penggantian enam lif di bangunan utama pula telah dimulakan pada November lalu, di bawah peruntukan Rancangan Malaysia ke-11.

Serah tapak projek telah dilaksanakan pada November lalu, dan projek ini akan mengambil masa 18 bulan untuk disiapkan.

“Kerja-kerja fizikal bagaimanapun hanya akan dimulakan pada Jun depan, melibatkan tiga fasa. Setiap fasa melibatkan dua unit lif,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Zin Hing berharap orang ramai tidak lagi bimbang dengan status lif di bangunan utama tersebut yang sebelum ini sering rosak dan bermasalah. – Sarawakvoice