Penurunan kuasa tidak bermakna jika pegawai tidak kompeten dan berupaya laksana tanggungjawab – Tok Nan

KUCHING: Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem semalam mengingatkan penjawat awam di negeri ini agar sentiasa meningkatkan keupayaan dan kebolehan diri, dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Menurutnya, mereka perlu berani menyahut cabaran di samping merebut peluang-peluang yang terhidang.

“Penurunan kuasa yang sedang kita usahakan daripada Kerajaan Persekutuan tidak akan bermakna jika kita tidak berupaya dan kompeten untuk melaksanakan tanggungjawab yang diberi,” tegasnya ketika berucap merasmikan Malam Kecemerlangan Perkhidmatan Awam Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo dekat sini malam tadi.

Adenan menegaskan, penting untuk kerajaan membina tenaga kerja yang mempunyai kemahiran dalam bidang teknikal, vokasional, pendidikan dan latihan bagi memenuhi keperluan pekerja negeri pada tahun 2030.

” Pada masa yang sama kita juga perlu membangunkan pemimpin masa depan bagi memenuhi keperluan masa depan dan hari ini.

” Kerana itu saya amat gembira dengan komitmen Perkhidmatan Awam Sarawak yang secara aktif mempromosikan Program Kepimpinan Tertinggi (HPT) sebagai usaha untuk mencapai sasaran perkhidmatan awam bertaraf dunia.

Pada majlis tersebut, Adenan turut melancarkan Institut Kepimpinan Perkhidmatan Awam Sarawak, yakni penjenamaan semula Pusat Pengurusan Moden Negeri.

Sementara itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri dan Lembaga Kemajuan Bintulu diumumkan sebagai pemenang bersama Anugerah Pencapaian Pasukan Tertinggi, manakala Lembaga Pelabuhan Miri dan Dewan Bandaraya Kuching Utara muncul pemenang bersama Anugerah Aktiviti Fokus Utama.

Anugerah Kecemerlangan Penguatkuasaan disandang Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sarawak sementara Anugerah Pengurusan Pelanggan kategori Jabatan Negeri dimenangi Dewan Bandaraya Kuching Utara.

Pejabat Daerah Saratok pula memenangi Anugerah Pengurusan Pelanggan kategori Pejabat Daerah manakala kategori pihak berkuasa tempatan dimenangi Majlis Daerah Subis.

Setiausaha Tetap Kementerian Perancangan dan Pengurusan Sumber Sarawak, Datu Sudarsono Osman dinobatkan Pegawai Contoh kategori Kumpulan Pengurusan Tertinggi Kerajaan Negeri manakala Timbalan Ketua Pengarah MAMPU, Mohd Shahbudin Omar dipilih pemenang untuk Kerajaan Persekutuan.

Dr Charles Leh Moi Ung dari Jabatan Muzium Negeri pula memenangi Pegawai Contoh Kategori Pengurusan dan Profesional Kerajaan Negeri manakala Guru Besar SK Ulu Lubai, Jaul Bunyau memenangi kategori yang sama untuk Kerajaan Persekutuan.

Kategori Pelaksana Sokongan I Kerajaan Negeri dimenangi pegawai penguatkuasa Majlis Bandaraya Kuching Selatan, Said@Barline Rahek manakala kategori Kerajaan Persekutuan disandang Pembantu Tadbir N17 di Pejabat Pengarah Kesihatan Negeri, Romi Len.

Pegawai Penyiasat Bahagian Pencegahan dan Penguatkuasaan Jabatan Hutan Sarawak, Jamuri Tahir pula dipilih Pegawai Contoh Kategori Pelaksana Sokongan II Kerajaan Negeri manakala kategori Kerajaan Persekutuan dimenangi Matsuhai Karim, pemandu kenderaan di Hospital Limbang. – Sarawakvoice