Pas tidak akan jalin kerjasama dengan Umno atas dasar politik

0
4

KUALA LUMPUR: Setiausaha Pas, Datuk Takiyuddin Hassan menegaskan PAS tidak akan  bekerjasama dengan Umno atas dasar politik.

“Kita tidak pernah mengisytiharkan atau memutuskan hendak bekerjasama dengan UMNO (atas dasar politik) tetapi dalam aspek lain diteruskan,” katanya ketika ditemui pemberita di sesi dialog rakyat bertajuk ‘Sehati Sejiwa Memerangi Rasuah’ di sini, semalam.

Program tersebut diadakan sempena sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa yang disambut di seluruh negara.

Namun, beliau mengakui, parti Islam itu  sedia bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dalam isu melibatkan perpaduan negara dan umat Islam selaras dengan pendekatan baharu budaya politik matang dan sejahtera yang diamalkannya.

Persoalan tentang pendirian Pas banyak dipertikaikan pemerhati politik selepas ia tidak lagi bersama-sama dengan Pakatan Rakyat.

Selepas Pas keluar daripada pakatan itu, maka parti pembangkang telah memberi label baharu, iaitu Pakatan Harapan dengan penyertaan Amanah, parti serpihan Pas.

Tanpa penyertaan Pas dalam pakatan pembangkang, sukar bagi pembangkang untuk menumbangkan BN dalam pilihan raya umum akan datang.

Takiyuddin berkata, kerjasama boleh dijalankan dalam isu seperti membantu menangani isu-isu besar seperti Rohingya, kumpulan etnik Islam yang dilaporkan ditindas kerajaan Myanmar.

“Kita ada hubungan saling membantu dan kerjasama dengan BN dalam bentuk isu Rohingya untuk ditangani bersama,” ujarnya. – Sarawakvoice