Empat lelaki rompak 21 dulang emas

0
5

KUALA LUMPUR: Empat penyamun berjaya melarikan 21 dulang emas bernilai sekitar RM1 juta dalam rompakan nekad di sebuah kedai emas di dalam sebuah pasar raya di Taman OUG, Jalan Klang Lama di ibu negara, semalam.

Kegiatan jenayah yang hanya mengambil masa dua minit itu berjaya dirakamkan beberapa kamera litar tertutup berdekatan, termasuk bagaimana lelaki terbabit mengacukan pistol ke arah pekerja yang berada di dalam premis berkenaan.

Dalam kejadian 1 tengah hari itu, kesemua suspek masuk ke kedai berkenaan dengan memakai topi keledar dan rompi hijau.

Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Sharul Othman Mansor berkata seorang daripada suspek bertindak memecahkan kaca kotak pameran barang kemas menggunakan tukul dan dipercayai melarikan barang kemas daripada 21 dulang.

“Suspek masing-masing membawa senjata seperti parang, tukul serta pistol kemudiannya melarikan diri menggunakan kereta jenis Mercedes,” katanya seperti dipetik Bernama.

Polis masih lagi meneliti rakaman CCTV plat kenderaan yang digunakan suspek.

Siasatan awal, polis menemui kesan darah di lokasi jenayah.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun menggunakan senjata secara berkumpulan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan. – Sarawakvoice