Sunday, September 25, 2022

Mengabaikan bahasa Melayu: Malapetaka budaya yang serius

Secara Rawak

Satu daripada ukuran kewarganegaraan seseorang ialah keupayaannya menggunakannya bahasa kebangsaan negara, baik secara lisan atau tulisan. Tentu mengejutkan jika masih terdapat rakyat yang tidak faham dan tidak mampu berucap atau bertutur dalam bahasa kebangsaan negara, itu bahasa Malaysia atau bahasa Melayu.

Lebih-lebih lagi bagi generasi di bawah 50 tahun yang terdidik dalam bahasa itu dalam sistem pendidikan. Amatlah aneh, malah memalukan jika ada yang tidak fasih, atau lebih teruk tidak faham akan bahasa itu.

Kini, selepas lebih daripada 50 tahun merdeka dan Malaysia dibentuk, masih ada pemimpin dan wakil rakyat yang tidak fasih dalam bahasa itu.

Ketika ada cadangan supaya kelulusan dalam bahasa Malaysia dijadikan syarat untuk menjadi calon dalam pilihan raya suatu ketika dahulu, ada pemimpin yang menyifatkannya sebagai cadangan yang bodoh. Kita tidak tahu siapa sebenarnya yang bodoh: adakah yang mencadangkannya atau yang menolak cadangan itu?

Semalam Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd Kadir kesal dengan tindakan orang Melayu termasuk pegawai kerajaan, malah menteri yang jarang-jarang menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya. Beliau menyifatkannya sebagai satu malapetaka budaya yang amat serius.

Beliau berkata, lebih malang terdapat kalangan orang Melayu yang menganggap mencampuradukkan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sebagai satu status simbol alaf baharu.

Katanya, dalam dunia serba moden dengan kecanggihan teknologi dan alam siber, masyarakat sering tersasar dan ada kalanya sukar membezakan antara bahasa yang asli atau tidak.

“Hasilnya kehidupan menjadi kompleks, kadang-kadang mekanikal dan robotik. Acap kali bahasa juga turut disemberonokan.

“Bahasa sudah dirojak dan ramai orang Melayu sudah tidak fasih dengan bahasa ibundanya sendiri,” katanya.

Beliau  berucap pada majlis penyampaian Hadiah Karya Darul Ridzuan ke-5, bersekali Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa Pangkor (Pulara) Ketujuh di Pulau Pangkor, di sini malam tadi.

Sebelum ini Pengerusi NGO Aktivis Belia Tanah Air (ABATA), Azrinizam Ibrahim berkata adalah sesuatu yang memalukan apabila seseorang itu tidak mampu untuk menguasai bahasa kebangsaan.

Kata beliau, apa ertinya menjadi warganegara Malaysia jika tidak tahu berbahasa kebangsaan?

“Di beberapa negara lain jika tidak tahu berbahasa kebangsaan negara tersebut maka seseorang itu mungkin tidak layak diberi keistimewaan menjadi warganegara,” katanya.

Selepas banyak menjelajah ke pelbagai kota dan bandar dunia, tidak keterlaluan dikatakan bahawa hanya Malaysia yang bagai gagal benar-benar mendaulatkan bahasa kebangsaannya. Sikap tidak prihatin dan tidak sayang kepada bahasa itu, dan sikap terlalu mengagung-agungkan bahasa Inggeris merupakan puncanya.

Hujah yang sering digunakan ialah, negara tidak mungkin maju jika rakyat tidak fasih dalam bahasa Inggeris. Hujah ini amat lemah dan dapat ditangkis dengan mudah sebenarnya.

Buka mata dan hati untuk melihat banyak negara lain yang tidak mengunakan bahasa Inggeris, tetapi jauh lebih maju daripada negara ini, dan negara-negara lain yang menggunakan bahasa Inggeris.

Persoalannya sekarang ialah, sampai bila kita hendak membiarkan bahasa itu menjadi melukut di tepi gantang?

Sampai bila kita boleh biarkan menteri bercakap dalam bahasa Inggeris meskipun majlis itu hanya dihadiri oleh rakyat Malaysia. Bukan tidak ada menteri dan pemimpin yang bercakap dalam bahasa Inggeris di hadapan rakyat biasa.

Ya, seperti kata MB Perak, ini ialah kejadian yang malang dan malapetaka budaya yang serius. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru