KUALA LUMPUR: Daripada sibuk mahu menjatuhkan kerajaan sedia ada, DAP disarankan membuka kelas bahasa kebangsaan kepada ahlinya yang terbukti tidak mampu menguasai bahasa Malaysia dengan baik.

Pengerusi NGO Aktivis Belia Tanah Air (ABATA), Azrinizam Ibrahim berkata adalah sesuatu yang memalukan apabila seseorang itu tidak mampu untuk menguasai bahasa kebangsaan dan kerana mungkin kerana itulah jiwa patriotisme tidak ada dalam diri ahli DAP

“Apa ertinya menjadi warganegara Malaysia jika tidak tahu berbahasa kebangsaan? Di beberapa negara lain jika tidak tahu berbahasa kebangsaan negara tersebut maka seseorang itu mungkin tidak layak diberi keistimewaan menjadi warganegara,” katanya.

Konvensyen Kebangsaan DAP baru-baru ini membuktikan ahlinya tidak mampu menguasai bahasa kebangsaan apabila parti itu terpaksa menyediakan alat penterjemah.

Pada Persidangan Kebangsaan DAP  baru-baru ini difahamkan lebih 100 unit alat penterjemahan diedarkan kepada para perwakilan untuk mengalih bahasa ucapan perbahasaan persidangan itu ke dalam bahasa Mandarin dan Tamil.

“Oleh itu saya cadangkan agar DAP buka kelas bahasa kebangsaan daripada berhabis duit beli alat terjemah bahasa,” ujarnya seperti dilapor UMNO-Online.

Malah Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook mendedahkan betapa parti itu terpaksa membelanjakan RM20,000 untuk menyediakan alat penterjemahan semasa persidangan parti itu berlangsung.

Tambah Azrinizam tidak ada guna lagu DAP  dalam bahasa Malaysia tetapi ahli malah pemimpin mereka sendiri gagal untuk bercakap dan memahami bahasa kebangsaan negara ini.

“Bagi saya, lagu parti itu dibuat dalam bahasa Malaysia hanya sebagai satu propaganda untuk mendapat undi.

“Dap patut sedar kegagalan ahli dan pemimpin mereka menguasai bahasa kebangsaan adalah perkara yang amat serius. Lihatlah apa jadi dalam dewan rakyat bila pemimpin Dap berhujah dalam bahasa Malaysia yang tunggang langgang.

“Jika menguasai bahasa kebangsaan pun mereka gagal maka bagaimana mereka mahu menjadi seorang pemimpin yang baik,” ujarnya lagi.

Sementara itu, bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam catatan terbaharu blognya berkata, DAP ialah parti berbilang kaum yang menyokong semua peruntukan Perlembagaan Malaysia, termasuk sistem beraja, hak-hak istimewa Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Islam sebagai agama persekutuan.

Katanya, sambutan ulang tahun  DAP ke-50 dijalankan sepenuhnya dalam bahasa kebangsaan. – Sarawakvoice

dap-gagal-bm02